Punca Misi Menurunkan Berat Badan Anda Boleh Jadi Gagal

Share

Selain melakukan diet secara drastik dengan tidak makan secara tiba-tiba atau berpuasa secara melampau, ada kesilapan lain yang anda perlu perhatikan ketika proses diet.

Diet yang secara melampau bukan sahaja tidak menyihatkan, malah boleh membahayakan kesihatan.

Walaupun terlebih makan antara punca berat badan berlebihan, janganlah sampai anda berpantang makan secara keterlaluan sehingga berdepan dengan masalah kekurangan zat makanan.

Jika anda terlalu kerap berlapar, sistem metabolisme badan akan berubah iaitu metabolisme badan turun dan segala apa yang anda makan walaupun sedikit akan disimpan sebagai lemak dan otot menjadi kecut.

Apabila anda tidak mampu meneruskan ‘diet’ melampau seperti ini, anda akan mula makan tanpa kawalan kerana selera bertambah dan semuanya akan menjadi lemak.

Ini sekali gus akan menyebabkan berat badan bertambah dengan cepat dan menjadi lebih gemuk dari sebelumnya. Akhirnya anda gagal turunkan berat badan dan terpaksa berdiet semula.

Untuk memastikan diet anda berjalan lancar, elak lakukan kesilapan-kesilapan ini ketika menurunkan berat.

1. MEMILIH PRODUK ‘RENDAH LEMAK’

Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabeln sebagai ‘rendah lemak’ dan merasakan ia baik untuk kesihatan serta boleh membantu menurunkan berat badan.

Hakikatnya, produk itu sebenarnya mempunyai nilai kalori tinggi kerana kandungan gulanya juga tinggi. Pengeluar produk ini mengurangkan lemak dalam produk tetapi menambah kandungan gula untuk membuatkan produk ini lebih sedap.

Kajian sains mendapati lemak mono tak tepu (kekacang, avocado, minyak zaitun) dan lemak Omega 3 daripada ikan baik untuk menurunkan berat badan.

2. MENURUNKAN BERAT BADAN HANYA DENGAN BERSENAM

Foto: senivpetro – www.freepik.com

Senaman penting untuk menurunkan berat badan tetapi bergantung sepenuhnya kepada senaman tanpa mengawal pemakanan adalah usaha yang sia-sia.

Kajian mendapati seseorang yang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan dan kalori makanan akan menyebabkan berat badan susah turun, malah bertambah.

Ini kerana ramai mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka dengan kalori yang dibakar, tidak perlu mengawal jumlah makanan yang diambil.

Jika ingin menurunkan berat badan secara maksimum, jumlah pemakanan seharian masih perlu dikawal walaupun anda bersenam.

3. HANYA MEMILIH MINUMAN ‘DIET’

Kajian mendapati pengambilan minuman ‘diet’ menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah.

Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, Amerika Syarikat mendapati seseorang yang mengambil minuman ‘diet’ menghadapi sehingga 70 peratus peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa.

Kajian sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41 peratus untuk penggemar minuman ‘diet’.

Menurut pakar pemakanan, fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan aspartame yang rendah kalori dalam minuman ‘diet’ meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat ‘isyarat kenyang’ apabila perut penuh.

Daripada anda mengambil minuman diet, sebaiknya pilihlah air putih untuk menurunkan berat badan.

Kesimpulan:
Jika anda gagal dalam percubaan pertama untuk menurunkan berat badan, janganlah terlalu cepat mengalah.

Kajian mendapati seseorang yang hanya cuba menurunkan berat badan mendapat faedah kesihatan walaupun anda gagal menurunkan walau sedikit pun berat badan.

Jadikan matlamat untuk mendapat kesihatan yang baik sebagai faktor utama anda ingin menurunkan berat badan kerana kesihatan yang baik akan terpancar sebagai kecantikan yang sebenar.

Subscribe dan tonton video tentang gaya hidup lelaki di Youtube MASKULIN

Published by
Farizul Izwany Ibrahim