
Bulan Ramadan adalah masa untuk berpuasa dan menahan diri daripada makan serta minum sepanjang hari.
Namun, apabila Syawal tiba, ramai yang bertukar kepada mod ‘raya sebulan’, menikmati juadah tanpa had.
Tetapi tahukah anda bahawa makan berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung?
Lemak, Kolesterol & Tekanan Darah

Juadah hari raya seperti rendang, lemang, ketupat dan kuih-muih lazimnya tinggi dengan lemak tepu, gula dan garam.
Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan yang serius.
Pertama, paras kolesterol meningkat akibat makanan berlemak tinggi seperti rendang dan kuah kacang.
Kolesterol LDL (‘kolesterol jahat’) yang tinggi boleh menyebabkan penyumbatan arteri dan meningkatkan risiko serangan jantung.
Kedua, tekanan darah tinggi boleh berlaku akibat makanan yang mengandungi kandungan garam tinggi seperti serunding dan daging dendeng.
Tekanan darah yang tidak terkawal boleh membebankan jantung dan meningkatkan risiko strok.
Selain itu, berat badan yang naik mendadak disebabkan oleh lebihan kalori daripada kuih-muih manis dan minuman bergula boleh membawa kepada obesiti.
Obesiti merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada penyakit jantung.
Bagaimana Menikmati Raya Tanpa Menjejaskan Jantung?
Kawal Saiz Hidangan
Jangan ambil semua jenis makanan dalam satu pinggan.
Amalkan konsep suku-suku separuh: suku untuk karbohidrat (lemang/nasi impit), suku untuk protein (rendang/ayam bakar), dan separuh untuk sayur-sayuran.

Pilih Makanan yang Lebih Sihat
Jika boleh, pilih versi makanan yang kurang berminyak dan kurang manis.
Contohnya, rendang ayam tanpa santan berlebihan atau kuih yang menggunakan pemanis semula jadi.
Minum Air Kosong
Elakkan minuman manis seperti air gas dan sirap bandung yang tinggi kandungan gula.
Sebaliknya, minum air kosong yang membantu pencernaan dan mengawal pengambilan gula.
BACA LAGI : Cara Bakar Kalori dengan Mudah Tanpa Perlu ke Gim!
Jangan Lupa Bergerak!
Ambil peluang untuk berjalan ke rumah saudara-mara atau melakukan aktiviti fizikal ringan seperti membantu membersihkan rumah selepas tetamu pulang.
Ini membantu membakar kalori berlebihan dan mengelakkan kenaikan berat badan.
Jaga Jantung, Jaga Kesihatan
Hari raya sepatutnya menjadi masa untuk bergembira bersama keluarga dan rakan-rakan, bukan masanya untuk merisikokan kesihatan.
Berpada-padalah dalam menikmati makanan kerana kesihatan yang baik lebih bernilai daripada sepinggan lemang dan rendang.
Selamat Hari Raya, makan dengan bijak dan jaga kesihatan jantung anda!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI