Automotif

PROTON X50 2024, Versi Sarat Peningkatan Terkini Untuk Pemanduan Unggul

Share

Hari ini, PROTON memperkenalkan PROTON X50 2024 yang hadir dengan peningkatan terkini untuk pengalaman pemanduan lebih unggul.

Model yang popular PROTON menampilkan pelbagai peningkatan canggih pada SUV segmen-B mereka yang sangat popular.

Sejak dilancarkan pada 2020, PROTON X50 telah mencatatkan jualan lebih 110,000 unit. Sekali gus menjadikannya sebagai  SUV terlaris di Malaysia.

Kini, model PROTON X50 2024 hadir dengan teknologi terkini dan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Sama seperti model Geely Binyue yang menjadi asasnya yang telah terjual lebih 770,000 unit di seluruh dunia.

Legasi Keselesaan

Model PROTON X50 2024 meneruskan legasi pendahulunya dengan menawarkan pengalaman pemanduan lebih senyap dan lancar melalui penambahbaikan kadar bising, getaran, dan kekasaran (NVH).

Lebih 20 bahagian telah diperbaiki untuk meningkatkan penebat bunyi, memberikan suasana dalaman yang lebih baik. Pintu belakang berkuasa telah ditambah pada varian Premium dan Flagship untuk kemudahan tambahan.

Unit kepala infotainment (IHU) 10.3 inci pada 2024 PROTON X50 kini dilengkapi dengan pemproses dual quadcore baharu. Ia memberikan kelajuan but dan masa pemuatan yang lebih pantas.

Ini membolehkan operasi aplikasi berjalan lancar tanpa gangguan. Ia juga menampilkan arahan suara “Hi PROTON” dan aplikasi PROTON Link yang membolehkan enjin dihidupkan serta kabin disejukkan dari jarak jauh.

Keselamatan dan Kemudahan

PROTON terbaru ini menawarkan kombinasi keselamatan dan kemudahan yang unggul. Kamera 360 Definisi Tinggi baharu memberikan imej yang jelas walaupun dalam keadaan cahaya rendah, memudahkan parkir.

Fungsi Auto Park Assist turut disediakan untuk membantu pemandu dalam tugas parkir. Paparan pandangan 3D persekitaran akan muncul ketika memberikan isyarat untuk mengurangkan titik buta semasa manuver penukaran lorong, berfungsi sehingga kelajuan lebuh raya 150 km/j.

Enjin suntikan langsung turbocharged 1.5 liter pada 2024 PROTON X50 menghasilkan 177 PS dan 255Nm tork, dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan.

Gabungan ini membolehkan SUV mencapai masa pecutan 0-100 km/j dalam hanya 7.9 saat. Model ini juga dilengkapi dengan 6 beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan 8 Sistem Bantuan Pemandu Peringkat 2 (ADAS). Selain itu ia juga lengkap dengan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Tawaran Istimewa

Peningkatan produk pada model ini memberikan nilai tambahan RM6,000 kepada pembeli, namun harga SUV ini dikekalkan.

Pakej ‘Early Bird’ terhad juga diperkenalkan dengan rebat sehingga RM8,500 untuk 5,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan pembelian baharu mereka sebelum 31 Julai 2024.

PROTON turut menawarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data lima tahun dengan 1GB sebulan, dan 6 kali perkhidmatan buruh secara percuma.

BACA: Enjin Kereta Bergegar Apabila Dihidupkan Atau Dipandu, Apa Puncanya?

“PROTON X50 yang dinaik taraf menunjukkan dedikasi PROTON untuk terus meningkatkan dan berinovasi sambil mengekalkan kualiti produk yang terbukti, seperti yang dijangkakan oleh pelanggan kami.

“Ia menawarkan reka bentuk sporty dan ciri yang dipertingkatkan untuk mengekalkan kedudukan produk sebagai model terbukti yang sesuai untuk pelbagai jenis pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Proton atau hubungi pengedar Proton terdekat. Ia kini boleh ditempah dalam talian di Proton dan di bilik pameran PROTON yang sah.

Harga atas jalan (OTR) tanpa insuran:

  • Proton X50 1.5T Standard: RM86,300 (Semenanjung Malaysia), RM88,300 (Malaysia Timur)
  • Proton X50 1.5T Executive: RM93,300 (Semenanjung Malaysia), RM95,300 (Malaysia Timur)
  • Proton X50 1.5T Premium: RM101,800 (Semenanjung Malaysia), RM103,800 (Malaysia Timur)
  • Proton X50 1.5 TGDi Flagship: RM113,300 (Semenanjung Malaysia), RM115,300 (Malaysia Timur)

PROTON X50 tersedia dalam lima pilihan warna menarik; Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, dan Passion Red.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim