Protein Bar: Snek Sihat atau Pilihan Berisiko? Inilah Kebenarannya

Share
Untuk dapatkan badan yang fit dan otot yang mantap, bukan senaman je yang kena jaga, tapi pemakanan pun main peranan besar. Senang cerita, nak nampak sado kena makan betul, tak cukup dengan angkat berat saja.

Salah satu benda yang penting dalam diet adalah protein. Boleh dapat dari makanan macam ikan, telur, ayam, daging, dan produk tenusu. Tapi kalau kau aktif bersukan atau memang kaki gym, mesti dah biasa dengar pasal protein bar—snek yang makin popular sebab mudah dan padat dengan protein.

Image by azerbaijan_stockers on Freepik

Protein bar memang snek yang semakin popular untuk tambah dalam diet harian, terutama bagi yang aktif dan nak jaga badan. Sama ada nak jadikannya sebagai alternatif snek sihat atau sumber tenaga lepas workout, protein bar dah jadi bahagian penting dalam dunia kecergasan.

Biasanya, protein bar ni memang kaya dengan protein, lebih tinggi dari kandungan lemak dan karbohidrat. Ia memang direka khas untuk dimakan lepas bersenam, waktu badan dah kehabisan glukosa dan perlukan protein untuk bantu proses pemulihan otot.

Selain itu, protein bar juga sesuai sebagai snek sihat ketika tengah sibuk, sebab ramai anggap ia pilihan yang lebih baik daripada coklat atau snek-snek biasa. Tambahan pula, ia boleh jadi cara mudah untuk tambah pengambilan protein harian anda.

Tapi, jangan lupa untuk periksa kandungan kalori dan gula. Kadang-kadang, protein dari makanan semula jadi macam daging tanpa lemak, ayam, telur, kacang, dan bijirin mungkin pilihan yang lebih baik dan lebih sihat.

BOLEH TINGKATKAN BERAT BADAN?

Bila bercakap pasal makanan, mesti topik berat badan tak boleh lari. Dalam bab turun atau naik berat, memang banyak mitos yang berlegar-legar, sampai kadang-kadang susah nak bezakan antara fakta dengan fiksyen.

Sebenarnya, anda hanya akan tambah berat badan kalau makan lebih banyak kalori daripada yang badan bakar setiap hari. Jadi, satu benda yang perlu diingat ialah protein bar hanya akan menyebabkan berat naik jika ia menambah jumlah kalori harian anda melebihi apa yang sepatutnya.

Walaupun protein bar boleh jadi snek sihat, jika pengambilan tidak dikawal atau jumlah kalori tidak diperhatikan, ia juga boleh menjadi penyebab berat badan meningkat. Jadi, kawal pengambilan dengan bijak!

Oleh itu, salah satu perkara penting yang perlu anda lakukan ialah sentiasa semak label ketika membeli protein bar.

Ini bukan sahaja untuk memeriksa jumlah kalori, tetapi juga kandungan gula. Apa yang mungkin anda anggap sebagai snek yang sihat dan tidak bersalah sebenarnya boleh mengandungi lebih daripada 300 kalori dengan mudah.

MEMILIH PROTEIN BAR TERBAIK

Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana cara untuk memilih protein bar yang betul-betul sesuai. Langkah pertama adalah memahami tujuan anda mengambilnya.

Jika anda fokus kepada kecergasan atau penurunan berat badan, penting untuk menetapkan matlamat yang jelas. Dengan matlamat yang tepat, anda boleh memantau perkembangan dan fokus pada usaha anda. Sebaik sahaja matlamat itu jelas, anda akan lebih mudah menentukan jenis protein bar yang sesuai untuk anda.

Terdapat beberapa jenis protein bar di pasaran. Ada yang dirumus khas untuk meningkatkan jisim otot bagi mereka yang ingin ‘bulking’. Bar jenis ini mengandungi karbohidrat dan kalori yang tinggi selain protein, sesuai untuk mereka yang mengamalkan diet kalori tinggi.

Di sisi lain, ada juga protein bar yang lebih ringan, direka untuk mereka yang sedang dalam fasa menurunkan berat badan. Protein bar ini biasanya rendah karbohidrat dan kalori tetapi tetap tinggi kandungan protein, menjadikannya pilihan ideal untuk mengawal berat badan.

Satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira ialah rasa dan tekstur. Sesetengah protein bar agak padat dan kenyal, manakala ada juga yang lebih lazat dengan tekstur seperti bar coklat konvensional yang lebih memanjakan selera.

Semoga panduan ini dapat membantu anda membuat pilihan yang lebih baik di masa hadapan!

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim