Seperti mana yang kita semua tahu negara kita masih dalam dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Dan sepanjang perintah ini kita semua masih dilarang untuk melakukan perjalanan merentas negeri.
Malah perkara ini telah diulang berkali-kali oleh kerajaan terutama sekali oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri. Menerusi sidang media harian beliau juga sentiasa mengingatkan bahawa semua rakyat Malaysia adalah dilarang sama sekali dan merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa jika melanggarnya.
Amaran keras juga telah diberikan oleh beliau terhadap mereka yang masih berdegil melakukan rentas negeri meskipun tidak dibenarkan berbuat demikian.
“Bagi mereka yang pulang ke kampung terlepas sekatan, seronoklah dah terlepas balik kampung. Tetapi ingin saya ingatkan lepas ini sekatan jalan raya (SJR) balik tidak bermakna mereka mungkin terlepas pulang balik ke tempat kerja di Kuala Lumpur.
“Jadi mungkin seronok dah terlepas, mungkin beri berbagai-bagai alasan akhirnya diterima polis. Tapi balik nanti mereka juga akan lalui sekatan dan belum tentu boleh terlepas,” jelasnya pada sidang media semalam.
Dan tinjauan MASKULIN pada pagi tadi menyaksikan ramai warganet berkongsi dan mengeluh dengan kesesakan jalan raya menghala ke Plaza Tol Gombak.
Menurut ciapan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia pada jam 7:08 pagi tadi menyaksikan kesesakan luar biasa berlaku laluan menuju plaza tol tersebut. Sekatan jalan raya oleh pihak polis dilakukan bagi memastikan orang ramai mematuhi PKPB.
Beberapa pengguna Twitter turut berkongsi kondisi trafik di kawasan tersebut.
Antara komen menarik;
“Hari ni tol gombak penuh orang balik kg pepe kalau jadi korang la punca”.
“Dengar laporan traffic dipagi hari, jem dari mrr2 exit ke tol gombak. Amboii balik raya ke ramai2 tu”.
Memetik laporan Astro Awani, sekatan jalan raya yang dijalankan di Tol Gombak malam tadi juga menyaksikan mereka yang ditahan gagal menunjukkan dokumen kebenaran rentas negeri selain memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.
Sejumlah 150 kenderaan telah diarahkan berpatah balik di Ops SJR Tol Gombak semalam. Dan pada pagi ini menyaksikan sekurang-kurangnua 60 pemandu gagal mengemukakan dokumen permit tentas negeri daripada polis.
MASKULIN menggesa kepada anda semua untuk tidak berdegil. Usahlah terlalu mengikut perasaan dan terimalah hakikat bahawa Hari Raya Aidilfitri tahun ini berbeza bukan untuk anda sahaja tetapi kita semua.