Skuter merupakan pengangkutan ideal di kawasan urban. Mudah dikendalikan dan sesuai untuk golongan wanita. Memeriahkan lagi pasaran skuter tempatan, Naza Premira Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Piaggio di Malaysia memperkenalkan model Piaggio Medley S 150 ABS. Pada majlis yang sama, pihak Naza tidak ketinggalan menawarkan model Vespa S125 i-Get.
Pengenalan model berkenaan sempena Naza Merdeka Autofair 2017 yang akan berlangsung hujung minggu ini. Medley dibangunkan buat mereka yang ingin tampil berbeza dengan penampilan elegan dan tidak ketinggalan digabungkan bersama praktikaliti, teknologi dan keselamatan tertinggi.
Spesifikasi Piaggio Liberty ABS dan Piaggio Medley ABS memiliki spesifikasi hampir sama yang mana kedua-duanya menampilkan gaya klasik, sporty dan mewah.
ENJIN:
Namun, terdapat perbezaan pada bahagian jana kuasanya. Meskipun Liberty ABS dan Medley ABS masih menggunakan enjin 149cc SOHC i-Get empat lejang silinder tunggal tetapi Medley S 150 ABS dilengkapi dengan sistem start & stop.
Enjin berkenaan dipadankan dengan sistem transmisi CVT automatik yang mampu menghasilkan kuasa 11kW pada 7,750 rpm dan tork maksimum mencapai 14.4 Nm pada 6,400rpm. Enjin berkenaan juga dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair dan teknologi pancitan bahan api yang menyumbang kepada kemampuan memecut pada kelajuan tinggi tetapi masih cekap bahan api.
CIRI PERALATAN:
Sementara ciri keselamatan yang dipadankan pada produk asal Itali ini tidak perlu diragukan lagi kerana ia dilengkapi dengan ciri ABS dua saluran. Dengan sistem brek tersebut meningkatkan lagi keselamatan pengguna.
Selain itu, Medley S 150 ABS dilengkapi dengan soket USB yang diletakkan pada ruang simpanan depan. Ini memudahkan operasi mengecas telefon pintar. Bahkan, ruang simpanan di bawah pelana bersaiz 36.2 liter cukup luas yang boleh memuatkan dua helmet muka penuh.
Untuk keselesaan tunggangan diserahkan kepada fork bersaiz 33mm di depan. Manakala gandar belakang dilengkapi dengan penyerap hentak bersama gegelung spring dengan preload boleh laras lima peringkat.
Pengendalian menjadi lebih mudah kerana saiz rim depan lebih besar iaitu 16 inci bersama balutan tayar 100/80 dan belakang pula dipadankan dengan rim bersaiz 14 inci bersama tayar 110/80.
Keyakinan menghentikan skuter dengan berat 132kg itu ditugaskan kepada cakera tunggal bersaiz 260mm di depan dan cakera 240mm di belakang.
REKAAN:
Dari segi rekaan kurang menarik sebenarnya. Skuter tersebut masih mempertahankan gaya rekaan Eropah dengan sentuhan klasik yang begitu kental. Ia dipadankan dengan lampu utama bersama lampu nyalaan siang LED yang kelihatan lebih tajam dan terpasang secara simetri. Kemudian lampu isyarat membelok dipasang pada badan depan iaitu di bahagian sisi kiri dan kanan dengan rekaan lebih elegan.
Bahagian sisi Piaggio Medley S150 ABS diserlahkan dengan lekukan halus. Ia dilengkapkan dengan rekaan pelana yang mengikut lekukan pada sisi badan skuter itu. Bahagian belakangnya memiliki persamaan dengan Liberty ABS. Rekaan lampu belakang sedikit lebar yang disatukan dengan lampu isyarat membelok.
HARGA:
Harga jualan Piaggio Medley S150 ABS: RM17,000 seunit (tidak termasuk GST).
Sempena Naza Merdeka Autofair, 33 orang pembeli pertama akan menerima karier belakang, kotak meletakan barangan, perehat belakang, pelapik kaki dan dua tahun servis percuma selain waranti kilang dua tahun.