Perut Senang Buncit? Lelaki Perlu Amal 10 Tip Ini

Share

Berikut antara cara untuk mengatasi perut buncit:

Pengambilan lemak sihat

– Percaya atau tidak, program diet rendah lemak tidak akan menghilangkan perut buncit. Perkara itu didedahkan oleh kajian yang dijalankan Universiti Colombia.

Hakikatnya, antara perkara yang boleh dilakukan adalah mengurangkan pengambilan nasi putih dan menggantikannya dengan roti gandum selain menikmati lemak sihat seperti avokado dan minyak zaitun.

Mengikut keinginan tubuh badan

– Kajian Jurnal Pemakanan Klinikal Amerika mendapati, jika seseorang memenuhi keinginan badannya ketika lapar, dia lebih cenderung makan dalam kuantiti lebih sedikit dalam tempoh tertentu.

Apabila seseorang mengidam untuk makan burger keju, dia mungkin akan makan burger keju selama beberapa hari sebelum akhirnya tubuh akan berasa bosan dan mengurangkan keinginan terhadap makanan itu namun pastikan saiz hidangannya tidak berlebihan.

Mengurangkan saiz hidangan

– Kajian mendapati individu yang mengurangkan jumlah hidangan hariannya sehingga 25 peratus akan kehilangan berat badan sehingga 15 kilogram (kg) dalam tempoh lapan minggu. Ini bukanlah langkah sukar untuk dilakukan terutama jika anda tekad melakukannya.

Di samping itu, pengambilan makanan secara terkawal pada hujung minggu juga dapat membantu seseorang mengurangkan berat badan.

Senaman bangkit tubi (sit-up) tidak menghilangkan lemak

-Sebanyak mana pun anda melakukan senaman bangkit tubi, ia tidak akan menyingkirkan lemak di perut. Ini kerana senaman ini hanya untuk menguatkan otot, namun lemak sukar terbakar hanya dengan senaman itu.

Sebaliknya, anda boleh melakukan senaman menyeluruh di bahagian otot besar yang lain seperti kaki, bahu dan dada supaya proses pembakaran lemak lebih optimum.

Banyakkan senaman kardiovaskular

– Apabila otot besar sudah dikuatkan dengan latihan bebanan, lakukan senaman kardio bagi mempercepatkan proses pembakaran lemak. Berlari atau melakukan senaman aerobik dapat membantu membakar kalori berlebihan dengan syarat pengambilan lemak buruk turut dihentikan.

Tiada guna bersenam, tetapi pengambilan makanan tetap tidak dikawal terutama makanan yang tinggi kalori.

Jangan kurang atau lebih tidur

-Tidur banyak memainkan peranan dari segi kesihatan. Kurang tidur membuatkan kadar metabolisme tubuh berkurangan, sekali gus menyukarkannya membakar lemak manakala tidur berlebihan pula membuatkan tubuh menjadi pasif dan terbiasa untuk tidak banyak bergerak.

Kedua-dua keadaan ini hanya mengakibatkan lemak berkumpul dengan lebih cepat.

Berhenti minum minuman bersoda termasuk soda berlabel “Diet”

– Kajian selama 10 tahun yang dijalankan University of Texas mendapati mereka yang kerap minum soda diet menjadi gemuk dengan lebih cepat berbanding mereka yang tidak mengambil minuman itu.

Ini kerana pemanis tiruan yang terkandung dalam minuman soda boleh membuatkan perut buncit lebih pantas dan mengundang rasa lapar dengan lebih cepat. Gantilah minuman itu dengan teh atau air lemon kosong.

Berdoa atau bertafakur

– Tahukah anda, ketika berdoa dan bertafakur, pengeluaran hormon tekanan akan berkurangan? Hormon itulah yang menyebabkan perut menjadi buncit.

Oleh itu, hindarilah tekanan dan perbanyakkan berdoa atau bertafakur untuk menenangkan fikiran dan jiwa. Walaupun hanya 15 minit setiap hari, ia sudah cukup membantu.

Gula yang sihat

-Menikmati makanan manis sudah menjadi budaya orang Malaysia, namun biarlah manis yang sihat. Buah-buahan mengandungi gula semula jadi begitu juga dengan madu.

Apabila menikmati makanan yang mengandungi gula seperti kerepek dan nasi putih, sebahagian besar kalori yang dimakan akan berubah menjadi lemak di perut.

Bersenam secara bijak, bukan secara keras

– Apabila lemak di perut semakin berkurangan tibalah masanya untuk memulakan senaman perut. Bersenamlah sehingga terasa regangannya dan janganlah berlebihan ketika melakukannya. Otot perut yang mantap membantu seseorang tampil lebih sihat dan segar.

 

Published by
Kim Rahim