Episod 4 program realiti kecergasan nombor satu Malaysia, ‘MASKULIN Who’s Your Bro’ (WYB), membuka tirai dengan satu pertarungan sengit yang penuh aksi, emosi, dan strategi.
Dalam dunia di mana hanya yang paling kuat dan bijak mampu bertahan, 10 Bros yang masih kekal di pentas ini membuktikan bahawa semangat dan ketahanan adalah senjata utama mereka!
Skrin menyala, dan kita disajikan dengan pengumuman dari game master, Mat Redho – Saddam dan Asyraf dinobatkan sebagai pemenang cabaran episod sebelumnya.
Tapi apa yang lebih menarik adalah keputusan Saddam untuk kekal bersama Asyraf. Ini bukan sekadar tentang kemenangan – ini tentang brotherhood sejati.
Dalam suasana yang penuh hormat, duo ini memilih untuk terus bersatu, mempamerkan semangat yang menjadi jiwa program ini.
Tidak ketinggalan, kumpulan tempat kedua, Chee Wai dan Irwan, turut diberi penghormatan atas usaha mereka yang luar biasa.
Sebelum melangkah ke cabaran utama, Muddle Trouble, satu mini challenge diadakan. Saddam dan Chee Wai sebagai ketua kumpulan masing-masing harus membuktikan siapa lebih hebat dalam pertarungan epik di bendang sawah.
Dengan bola seberat 7kg sebagai senjata, kedua-dua ketua harus membawa bola itu ke kawasan sendiri atau mempertahankannya hingga masa tamat.
Pertembungan ini benar-benar dramatik – peluh, lumpur, dan tenaga mengisi setiap detik! Akhirnya, Chee Wai berjaya bertahan lebih lama dan dinobatkan sebagai pemenang.
Sebagai ganjaran, Chee Wai dan Irwan memilih Nad, Ikmal, dan Hakimi untuk melengkapkan pasukan mereka.
Manakala Saddam dan Asyraf membawa masuk Theeban, Dr. Shazif, dan Syafiq ke dalam kumpulan mereka.
Cabaran utama episod ini adalah Muddle Trouble, di mana kedua-dua pasukan perlu berlari di bendang sawah yang licin untuk mendapatkan dua bendera sambil menghadapi tiga halangan pemain ragbi profesional yang bersedia menggagalkan misi mereka.
Lumpur yang melekat, tubuh yang letih, dan ragbi yang kasar – semua ini tidak cukup untuk melemahkan semangat Bros!
Ikmal dan Theeban menjadi sasaran utama pemain ragbi, tetapi sokongan padu daripada rakan pasukan menjadikan mereka berjaya mengharungi cabaran ini.
Akhirnya, pasukan Saddam menamatkan cabaran dengan catatan masa lebih pantas dua minit berbanding pasukan Chee Wai. Kemenangan ini bukan hanya soal kecepatan tetapi juga kerjasama dan strategi berkumpulan yang luar biasa.
Walaupun kalah, pasukan Chee Wai tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi. Dan berita baik buat semua Bros – episod kali ini tiada penyingkiran!
Setiap peserta diberi peluang untuk bangkit lebih kuat di episod seterusnya. Episod keempat ini membuktikan bahawa ketahanan fizikal dan mental, ditambah dengan strategi bijak, adalah kunci kejayaan dalam MASKULIN Who’s Your Bro.
Jadi, apa lagi? Jangan lupa saksikan episod seterusnya yang akan ditayangkan pada 27 Disember 2024, jam 9 malam di Astro Ria!
Siapa bro, siapa lawan?! Biar Bros yang tentukan!
Subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.