Bagi mereka yang belum pernah menaiki kapal terbang, pastinya gambaran khusus tentang prosedur yang perlu dilalui belum tergambar dek akal.
Lebih-lebih lagi proses untuk menaiki kapal terbang sudah tentu berbeza sama sekali dengan kaedah untuk menaiki bas.
Menyedari kepentingan tersebut dan bagi memudahkan anda membuat rujukan, Maskulin dengan suka citanya ingin berkongsi beberapa tips yang sangat bermanfaat buat anda.
1. Semak harga tiket dan rancang tarikh yang sesuai
Jika ingin melancong ke sesuatu tempat, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah membuat semakan harga tiket terlebih dahulu.
Kebiasaannya pesawat tambang murah seperti AirAsia ada menawarkan harga promosi pada tarikh-tarikh tertentu dan sebagai pengguna yang bijak, kita harus merajinkan diri untuk membuat perbandingan harga dari semasa ke semasa.
Jika terdapat hal-hal kecemasan dan memerlukan pembelian tiket dengan segera, jangan pelik sekiranya harga yang dikenakan agak mahal berbanding harga biasa.
Pembelian tiket kapal terbang boleh dibeli secara atas talian dan dari situ, anda juga dapat memilih sama ada mahu membeli atau tidak keperluan asas seperti berat bagasi, insurans dan juga makanan.
2. Tiba hari untuk berlepas
Apabila tiba hari untuk berlepas, kita perlu mendaftar masuk terlebih dahulu bagi mengesahkan kita akan meneruskan penerbangan pada hari dan tarikh tersebut.
Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mendaftar masuk seperti menerusi aplikasi dalam telefon, melakukan secara atas talian pada laman web, di kiosk layan diri atau di kaunter pendaftaran.
Sekiranya anda hanya membawa dan menggalas sebuah beg sahaja, anda tidak perlu ke kaunter pendaftaran untuk membuat pendaftaran masuk.
Ini kerana petugas di kaunter pendaftaran biasanya lebih mengutamakan mereka yang ada membeli berat bagasi bagi membuat timbangan.
Jika kurang, tiada sebarang masalah namun jika terlebih, pastinya anda mempunyai wang lebih untuk membuat pembayaran segera.
3. Jalani imbasan kawalan keselamatan
Setelah berjaya melakukan daftar masuk dan mencetak pas pelepasan, anda akan melalui satu laluan imbasan kawalan keselamatan.
Di situ, anda akan diminta untuk mengeluarkan segala jenis peralatan atau barangan yang ada pada tubuh ada seperti dompet, telefon bimbit, gelang, jam tangan serta tali pinggang.
Sebelum ini, tali pinggang tidak perlu dibuka sewaktu imbasan kawalan keselamatan dilakukan namun sejak berlaku beberapa kes penyeludupan dadah yang disorok pada tali pinggang, penguat kuasaan tersebut akhirnya dilaksanakan.
Jika dalam beg galas anda terdapat benda tajam dan berbahaya seperti gunting atau pisau, anda akan diarah untuk mengeluarkan dan membuangnya ke dalam kotak yang telah disediakan.
4. Perhatikan nombor pintu pelepasan anda
Selesai menjalani imbasan kawalan keselamatan, anda sudah boleh berjalan ke balai pelepasan. Ada sesetengah lapangan terbang, pintu masuk dan jarak ke balai pelepasa itu tidaklah terlalu jauh.
Namun bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) misalnya, anda bagaikan sempat untuk melakukan senaman jalan kaki sebelum tiba di pintu yang paling hujung jika tidak bernasib baik.
5. Tunggu dipanggil krew yang bertugas
Di balai pelepasan, terdapat ruang untuk menunggu dan anda bolehlah berehat-rehat di sana terlebih dahulu.
Sebaik sahaja kapal terbang siap untuk berlepas, krew yang bertugas akan membuat pengumuman dan anda perlu beratur mengikut nombor pada kerusi anda.
Sekiranya penerbangan anda adalah untuk berlepas ke luar negara, anda perlu sedia dan pamerkan passport serta pas pelepasan untuk tujuan semakan.
Jika anda sekadar mengikuti penerbangan dalam negeri, memadailah dengan mempamerkan kad pengenalan dan pas pelepasan anda sahaja.
6. Berjalan masuk ke dalam pesawat
Anda perlu beratur untuk masuk ke dalam pesawat dan sila perhatikan nombor pada tempat duduk anda.
Sebelum berlepas, krew kabin akan melakukan demonstrasi penggunaan alat-alat kecemasan seperti pemakaian jaket keselamatan dan topeng asap, menunjukkan arah pintu kecemasan dan yang paling penting, mengetatkan tali pinggang keledar.
Sentiasa perhatikan lampu isyarat pemakaian tali pinggang keledar. Jika kapal terbang sudah stabil ketika di udara, barulah anda boleh bergerak bagi mereka yang ingin ke tandas misalnya.
7. Tiba di lokasi lapangan terbang mendarat
Anda akan melalui stesen pemeriksaan imigresen. Mereka akan membuat semakan tentang perjalanan anda dan mengeluarkan sekeping pas lawatan kecil untuk simpanan anda.
Jika anda memiliki beg yang didaftar masuk, anda boleh terus ke ruang pengambilan bagasi untuk mengambil beg dan mulakan percutian anda dengan ceria.