“Pertama Kali Lihat Nama Di Jersi Kebangsaan, Itu Antara Detik Indah Dalam Karier Saya” – Shahrul Saad

Share

Bersempena dengan pelancaran dua jersi kebangsaan skuad Harimau Malaya semalam, MASKULIN telah berkesempatan diberikan ruang untuk menemubual Sharul Saad. Dianggap sebagai antara tonggak pertahanan utama pasukan kebangsaan dan juga kapten pasukan Perak, nama Shahrul Saad tidakperlu diperkenalkan lagi. Perkongsiaannya tentang pertama kali menyarung jersi kebangsaan turut MASKULIN dapatkan menerusi temu bual di bawah.

Ikuti temu bual MASKULIN bersama Shahrul Saad:

1. Sebagai pemain bola sepak sejauh manakah faktor keselesaan jersi yang dipakai sepanjang beraksi di atas padang?

Bagi pemain bola sepak profesional seperti saya, keselesaan sesebuah jersi amatlah penting bagi memastikan kelangsungan permainan setiap kali diatas padang. Jersi yang tidak selesa semestinya akan mengganggu prestasi atau rentak permainan kami. Faktor keselesaan ini juga merangkumi beberapa aspek lagi seperti pemilihan ukuran yang tepat dan juga pemilihan fabrik yang senang menyerap peluh, berkualiti tinggi dan juga tahan lasak.

2. Pada pendapat anda apakah keistimewaan paling utama yang dibawakan oleh jersi terbaru Harimau Malaya yang dihasilkan oleh Nike?

Jersi kebangsaan memainkan peranan yang penting atau boleh saya katakan seperti satu elemen simbolik yang sangat penting bagi setiap pemain dan peminat bola sepak tanah air. Selain dari simbol jalur hitam kuning yang merupakan identiti pasukan kebangsaan kita, ciri istimewa yang paling menyerlah pada jersi terbaru ini adalah pada perincian dan kemasan serta pemilihan fabrik yang berkualiti tinggi.

Bukan sahaja jersi, malah semua produk keluaran Nike yang digunakan oleh saya masih lagi utuh dan, apa yang penting setiap produk keluaran Nike menawarkan ciri ciri/teknologi yang sangat bagus.

Foto: Twitter Shahrul Saad

3. Jersi Harimau Malaya dianggap sebagai jersi keramat buat peminat bola sepak tempatan manakala beraksi mewakili negara merupakan impian ramai pemain bola sepak tanah air. Bagaimana pula dengan anda, boleh kongsi apakah perasaan yang anda lalui ketika anda pertama kali menerima dan menyarung jersi keramat Harimau Malaya itu?

Impian untuk mewakili negara adalah impian semua pemain termasuklah saya sendiri. Berkat usaha keras, pada tahun 2015 saya diberi peluang untuk mewakili negara buat pertama kali dibawah bimbingan coach Ong Kim Swee.

Bangga, teruja dan gembira saat pertama kali saya lihat nama saya dibelakang jersi tersebut, dan sejujurnya susah untuk saya tuturkan dengan kata kata. Ianya antara detik yang paling indah semenjak saya berada didalam arena sukan tanah air dan tidak semua pemain mendapat peluang seperti ini.

4. Nike merupakan antara perintis terkemuka dalam teknologi bola sepak di dunia. Malaysia cukup bertuah kerana ditaja oleh jenama bertaraf dunia ini. Selain jersi, apakah peralatan bola sepak lain yang cukup penting dalam mewujudkan jati diri sebuah pasukan bola sepak negara?

Pada saya, persiapan untuk pasukan kebangsaan amat berbeza jika dibandingkan untuk persiapan bagi kelab kelab bola. Untuk menampilkan idenititi negara di mata luar, selain dari corak hitam kuning yang merupakan simbol pasukan negara kita, keseragaman sesebuah pasukan itu amatlah penting bagi menunjukkan semangat sepasukan kita sebagai wakil negara.

5. Bola sepak merupakan antara industri sukan yang paling terkesan dengan penularan COVID-19. Bagaimanakah anda sebagai pemain berdepan dan menghadapi kesukaran ini?

Betul, industri bola sepak antara industri yang terjejas disebabkan pandemik COVID19. Bukan mudah untuk saya, malah untuk kami sepasukan pada mulanya kerana kami telah terbiasa untuk bekerja dan berlatih sepasukan.

Semestinya apabila sudah tidak bersama, prestasi dan momentum itu sedikit sebanyak akan terjejas dan untuk kembalikan semula momentum seperti sedia kala, ia merupakan satu proses yang lama dan tidak mudah untuk dilakukan.

Selain dari itu, apabila berasingan dari rakan sepasukan kita yang lain, kita akan mempunyai beberapa kekangan atau cabaran seperti ketiadaan peralatan yang mencukupi dan secara tidak lansung akan membantutkan prestasi pemain itu dari segi fizikal mahupun mental.

Untuk itu, saranan saya pada semua yang membaca adalah untuk sentiasa kekal positif dan kekal aktif dimana sahaja anda berada.

6. Perasan anda apabila Piala Malaysia juga turut dibatalkan tahun ini?

Sepeti yang ada tahu, Piala Malaysia merupakan satu perlawanan yang paling berprestij untuk negara kita. Dan semestinya, apabila pembatalan diumumkan, sedikit sebanyak ianya telah memberi kesan yang mendalam pada kami.

Khususnya pasukan Perak dimana satu satunya peluang kami untuk mara ke AFC Cup adalah dengan menjuari Piala Malaysia pada tahun ini. Tetapi apakan daya, sama samalah kita berdoa agar keadaan akan pulih seperti sedia kala.

7. Prestasi Harimau Malaya cukup memberangsangkan dalam kempen kelayakan Piala Dunia setakat ini, namun terhenti seketika akibat pandemik. Apakah harapan anda untuk baki perlawanan dalam kelayakan ini?

Bagi saya, pusingan kelayakan ke Piala Dunia ataupun World Cup merupakan satu tugasan yang sangat penting bagi setiap pemain bola sepak negara. Ini juga merupakan antara tugasan pertama semasa saya mula mula diberi peluang untuk menyertai pasukan kebangsaan.

Seperti yang kita semua tahu, cabaran kita untuk ke Piala Dunia sangat sukar dan bukan mudah untuk kami semua mengekalkan prestasi yang boleh dikatakan memberansangkan dimana jika kita lihat, kita berhadapan dengan pemain berkedudukan tinggi atau lebih senior/berpengalaman berbanding kami.

Apabila ditangguhkan seperti ini, perasaan takut sering muncul dalam diri kerana kami sudah pun bekerja keras dan berlatih untuk memastikan kami mempunyai “match fitness” yang sangat baik. Untuk kesemua baki perlawanan selepas ini, saya berharap agar kami semua dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya supaya kami dapat pastikan nama Malaysia diharumkan dan kita mampu untuk mara ke pusingan seterusnya.

8. Berikan sedikit ucapan buat peminat Harimau Malaya yang merindui aksi anda dan pasukan kebanggaan beraksi di pentas antarabangsa.

Secara peribadi, saya sangat merindui untuk beraksi di atas padang, saat mewakili negara dipentas antarabangsa dan bermain ditengah puluhan ribu penyokong Harimau Malaya merupakan impian semua pemain bola sepak negara kita.

Untuk semua peminat Harimau Malaya, saya berharap agar anda kekal sabar dan terus memberi sokongan kepada kami untuk kekal fokus dan terus mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat semua yang menyokong kerana anda semua ibarat pemain ke “dua belas” kami, tanpa anda siapalah kami. Saya berharap agar semuanya akan kembali seperti dahulu dan harapan saya untuk kita semua dapat berjumpa pada tahun hadapan.

Jangan lupa untuk follow Instagram MASKULIN untuk update terkini!

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim