Siapa tidak kenal dengan maestro muzik legenda negara, Datu M. Nasir yang bukan sahaja melahirkan lagu-lagu hit nyanyian sendiri tetapi deretan penyanyi popular di tanah air.
Aura persembahan dari beliau sentiasa dinantikan oleh peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan seni oleh seniman yang memawa persona ikonik serata Nusantara.
Terbaru, Datuk M. Nasir bakal kembali dengan konsert dan persembahan yang cukup istimewa. Konsert yang diberi nama ‘Gendang Pati’ ini bakal diadakan pada 18 November 2023 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.
Menariknya, siri konsert ini telah berlangsung di Singapura di mana beliau telah meninggalkan kesan yang sangat hebat kepada peminatnya di sana.
Kini, tiba masa Kuala Lumpur menjadi saksi kehebatan konsert yang dijangkan berlangsung selama dua jam dengan deretan lagu puitis dan sarat dengan makna tersendiri.
Konsert ini dibawakan secara eksklusif oleh MND SPORT & EVENT SDN BHD, M.Nasir tidak perlu menjanjikan persembahan yang spektakular atau luar biasa.
“Hal ini kerana M. Nasir itu sendiri sudah merangkumi seluruh perkara seni yang luar biasa dan hebat. Jadi kami di MND Sport & Event Sdn. Bhd percaya dengan kemampuan penghibur yang satu ini.
“Beliau telah membawa roh yang kuat terhadap karya yang dilahirkan sejak berzaman dan mendendangkan ia dalam Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur ibarat kerja seni yang akan mengalir dengan lancar dan semula jadi,” ujar Daniel dari MND Sport & Event Sdn. Bhd.
Buat M.Nasir, Gendang Pati diadakan versi Kuala Lumpur kerana sedar kecintaan dan kecanduan penggemar yang sentiasa mahu melihat beliau beraksi di atas pentas sebagai sebuah lambang kelangsungan kariernya yang sentiasa ‘hidup’ tak lapuk dek zaman.
“Saya perlu bersyukur kerana meski sudah melakukan banyak persembahan pentas, masih seorang M.Nasir sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendendangkan karya yang ada secara langsung.
“Ini bukan tentang saya seorang tapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangannya yang sentiasa positif. Yang pastinya, malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang pasti membuatkan semua berdendang bergoyang.
“Saya harap Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi sebuah lagi persembahan saya di tahun ini yang mampu membantu mengisi kecanduan semua terhadap karya saya,” ujar M.Nasir.
Konsert kali ini akan dibarisi pemuzik-pemuzik hebat yang menjadi tulang belakang M.Nasir iaitu pengarah muzik dan pemain gitar- Nan Alias, gitar rhythm- Rafi Mohd, bass- Norman , keyboard- Firdaus Mahmud dan Eddie Slam, dram- Ujang Exists serta penyanyi latar vokal- Eja, Widy, Yuaz & Awe.
Ini dikuatkan lagi dengan kehadiran pemain perkusi utama- Paang, perkusi tradisional- Mat Din, pemain perkusi – Che Long dan Anas. Juga ditambah dengan kemunculan Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.
Selain mempersembahkan M Nasir, pesta muzik ini akan diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd yang pastinya memperkuatkan Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur bakal mempersembahkan sebuah konsert yang menusuk jiwa dan meninggalkan momen istimewa pada malam itu nanti.
Untuk menyaksikan Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur, tiket dengan beberapa kategori harga boleh didapati di laman web MyTicket.Asia. Tiket-tiket berharga RM228 (Bronze), RM258 (Silver), RM388 (Gold), RM428 (Platinum), RM488 (Diamond) dan RM888 (Meet & Greet).