Keibubapaan

Pernah Terfikir Dapat Anak Autism Akibat Dosa Lampau, Kata-Kata Isteri Tenangkan Hati Dr Say

Share

Umum sedia maklum yang doktor selebriti Dr Say Shazril atau nama sebenarnya, Muhammad Shazril Shaharuddin dikurniakan seorang anak autism.

Seperti ibu bapa kepada anak autism yang lain, Dr Say juga pernah terfikir yang mungkin dia dikurniakan anak sebegitu akibat dosa-dosa lampaunya.

Menerusi hantaran video di laman Instagramnya, Dr Say berkongsikan intipati perbualan secara mendalam dengan isterinya Dr Azura Abas.

Menurut Dr Say, isterinya beranggapan yang Tuhan mengurniakan anak autism kepada seseorang kerana ingin menambah pahala agar mereka berpeluang untuk masuk ke syurga.

Selain itu, mempunyai anak autism juga menjadikan isterinya seseorang yang lebih merendah diri.

“Sebelum ini, bila kita tak ada anak kita rasa macam anak-anak orang lain ini bisingnya,” ujar Dr Say yang memetik kata-kata isterinya

“Tapi bila kita ada anak, anak autism pula, entah bagaimana kita dapat merasa betapa susahnya, betapa mencabarnya menjaga anak-anak lebih-lebih lagi anak autism”.

Mempunyai anak autism juga memberi peringatan agar mereka tidak lupa diri apabila berjaya suatu hari nanti, tambahnya.

“Bila saya dengar semua ini, memang tenanglah hati saya,” ujarnya

“Walaupun saya dah boleh terima anak saya ada autism, kadangkala ada juga benda yang buat saya tertanya-tanya kenapa anak aku yang kena? Apa salah aku pada masa lampau?”.

Terdahulu, Dr Say mengakui yang dia pernah bersikap menafikan kenyataan apabila anak sulungnya Aezriel, 5, mula menunjukkan tanda-tanda autism.

Memetik laman Autism Malaysia, autisme merupakan gangguan spektrum sepanjang hayat dan boleh dikenal pasti seawal usia 18 bulan.

BACA: Jangan Nafi Tanda Anak Autisme, Jangan Terlambat – Dr Say

Published by
Ruszaini Ruslan