Cerita tiga pemuda Malaysia merentasi pelbagai negara bermula dari United Kingdom (UK) menuju ke Malaysia hanya dengan berbasikal mula mendapat perhatian umum.
Maskulin berjaya mendapatkan salah seorang daripada mereka iaitu Muhammad Amir Arsad dan perkongsian ekspedisi mereka sangat menarik.
Jom baca points cerita yang telah dikongsikan :
Perkenalan yang tidak disengajakan, beli basikal terpakai
Pada peringkat awal, mereka bertiga mengembara secara solo dengan konsep back packing di negara-negara Eropah.
Pada ketika itu, masing-masing tidak pernah kenal antara satu sama lain tetapi Facebook telah menjadi penghubung permulaannya.
Ketiga-ketiga mereka terbang ke negara Eropah dan semasa di London, secara kebetulan Azmeer telah bertemu Iggy (atau nama sebenarnya Faizul).
Pertemuan antara Azmeer dan Iggy menyebabkan tercetusnya idea untuk berbasikal dan dari situ, mereka membuat keputusan untuk membeli basikal terpakai di London.
Mula berbasikal pada April 2018
Azmeer dan Iggy mula berbasikal di London pada April 2018. Amir pula telah membeli basikal terpakai di Kolon, Jerman dan pada Julai 2018, Amir telah menghubungi Azmeer dan Iggy untuk menyertai mereka di Split, Croatia.
Bermodalkan duit simpanan RM10,000
Bercakap tentang modal yang digunakan, Amir mengakui bajet yang disediakan sebenarnya tidak banyak.
“Kami ada buat sedikit simpanan dalam RM10,000 untuk setiap seorang dan dengan simpanan tersebut, kami keluar mengembara.
“Kami belum pasti lagi berapa jumlah keseluruhan yang akan dihabiskan untuk keseluruhan perjalanan sehingga ke Malaysia nanti,” katanya kepada Maskulin.
Ujarnya dalam satu perkongsian, mereka bertiga perlu berjimat-cermat dan berbelanja sekitar USD3 hingga USD4 sahaja sehari dan tidur di dalam khemah sebagai rutin.
Ditahan 5 jam dan dianggap sebagai pengganas
Mengimbau detik lalu, Amir membuka cerita tentang pengalaman sukar yang pernah dihadapi mereka bertiga sewaktu berbasikal.
Misalnya ketika merentasi Taraz, Kazakhstan, mereka telah disoal siasat oleh badan khas keselamatan kerajaan Kazakhstan selama 5 jam atas alasan mereka dikhuatiri sebagai pengganas.
Akibat kekangan visa, terpaksa kayuh 4 hari tanpa henti
Di Turkmenistan pula, mereka terpaksa berkayuh dari pagi sehingga melepasi pukul 12 tengah malam selama 4 hari berturut-turut kerana kekangan visa.
Mereka terpaksa melakukan demikian kerana transit visa yang diperolehi hanya bertahan selama 5 hari sahaja dan mereka perlu merentas sejauh 480 kilometer (km) di Turkmenistan.
Sedang berdepan musim sejuk
Ketika masih lagi sedang mengayuh hari ini, mereka berdepan cabaran paling utama iaitu musim sejuk.
Suka atau tidak, mereka perlu mengharungi musim sejuk sejak dari Timur Turki sehingga kini di Asia Tengah.
Sebut nama Malaysia, perasaan penuh hormat dipamerkan
Ketika ditanya ada atau tidak bertemu rakyat di negara luar yang bersikap baik seperti rakyat di Malaysia, Amir mengakui memang ada.
Malah apabila mereka mengetahui Amir, Azmeer dan Iggy adalah orang Malaysia, mereka mempamerkan perasaan yang penuh hormat.
Mereka juga berbesar hati untuk memberikan bantuan dan layanan mesra kepada Amir, Azmeer dan Iggy.
Lebih-lebih lagi di negara-negara yang majority penduduknya adalah beragama Islam. Kata Amir, memang terlalu ramai orang yang baik hati mereka temui di jalanan.
Siapa sebenarnya Amir, Azmeer dan Iggy?
Jujur sewaktu penulis mengetahui latar belakang tentang mereka, timbul rasa kagum kerana demi minat, mereka meninggalkan kerjaya mereka yang bukan calang-calang.
Misalnya.. Amir sendiri. Dia merupakan seorang peguam. Azmeer pula seorang freelancer dalam bidang fotografi dan aktif dalam aktiviti kemanusiaan manakala Iggy pernah berkhidmat dalam IT.
Apa makanan yang akan ‘diserbu’ sebaik sahaja tiba di Malaysia?
Bagi Amir, dia merindui masakan jawa ibunya iaitu ayam masak ungkep. Azmeer mengidam nak makan sate manakala Iggy pula teringin nak makan KFC.
Nasihat kepada mereka yang ingin mengembara
Amir menegaskan kepada mereka yang ingin mengembara janganlah meminta-minta sumbangan daripada orang ramai untuk mereka menjayakan misi peribadi.
“Ini kerana kebanyakan mereka bukanlah daripada golongan orang yang susah ataupun miskin yang perlu diberi bantuan sumbangan.
“Maka.. tiada salahnya guna duit sendiri untuk jayakan misi bersifat peribadi untuk mencetuskan inspirasi kepada orang ramai,” katanya. – MASKULIN