Walaupun pernah dicerca kerana menjual barangan wanita, seorang lelaki mualaf, Ken Karaei, 49, berjaya membuktikan produk jenamanya, ‘@tudung_i’ mampu menembusi pasaran Malaysia sehinggakan dalam tempoh dua tahun sahaja, ‘@tudung_i’ miliknya telah terjual sebanyak 100,000 unit.

Mengimbau kembali saat pertama kali Ken cuba-cuba untuk berniaga, tidak dinafikan memang terdapat banyak halangannya. Lebih-lebih lagi Ken adalah seorang lelaki berbangsa Cina dan keghairahannya menjual tudung kadangkala dipandang sinis. Namun begitu, pengalamannya sebagai agen penjual insurans suatu ketika dahulu telah mematangkan dirinya.

1. Tidak ambil hati

Bagi Ken untuk berjaya dalam sesebuah perniagaan, fokus adalah sesuatu perkara yang tidak boleh dipandang remeh. Meskipun ramai pelanggannya tidak mengetahui bahawa dia merupakan seorang mualaf dan sudah memeluk agama Islam sejak 20 tahun lalu, Ken langsung tidak ambil hati tentang perkara itu.

Baginya menjadi seorang mualaf adalah transisi manusia ke arah mahu mengenal Pencipta. Dalam skop perniagaan pula, Nabi Muhammad S.A.W juga merupakan seorang peniaga. Tiada salahnya bagi Ken untuk mengikut jejak idola umat Islam dan seluruh dunia itu menerusi ajaran serta sunnah-sunnahnya.

2. Abaikan suara sumbang dan pamerkan sisi positif

Memang ada suara sumbang yang sentiasa bercakap belakang tentang dirinya. Namun jika perkara negatif itu yang lebih diberi perhatian, pastinya urusan perniagaan sukar diberi fokus sekali gus boleh mencacatkan visi dan misinya yang sedang belajar untuk menjadi usahawan yang bertaraf lebih professional.

IKLAN

Mengatasi masalah tersebut, Ken mengambil pendekatan menolak elemen-elemen negatif dalam hidupnya dan menjadikan setiap orang baharu yang ditemui adalah pelanggannya. Walaupun ‘tidak sudi membeli’, Ken merasakan wajib bagi dirinya terus mempamerkan sisi diri yang positif untuk menyakinkan bahawa dia memiliki kekuatan yang tersendiri.

3. Utamakan kualiti dengan harga yang berpatutan

Jika mahu sesuatu perniagaan bertahan lama, kualiti produk yang ingin dijual perlulah dititik beratkan. Ujar Ken, pelanggan adalah duta awam yang mempromosikan produknya secara tidak langsung.

Dalam erti kata lain, si pemakai tudung yang dijual oleh Ken akan bercerita tentang produk yang dibelinya itu. Jika bagus, mereka akan berpuas hati. Lebih-lebih lagi sekiranya produk berkualiti itu dijual pada harga yang sangat berpatutan. Pastinya menjadi ‘pisang goreng panas’ apabila golongan wanita mula ‘membawang’.l

IKLAN

4. Cari keunikan dalam perniagaan untuk diingati

Kebanyakan kaum lelaki berasa malu untuk membeli tudung kepada pasangan masing-masing. Itu adalah sifat semula jadi kaum lelaki namun sebagai wanita, Ken amat memahami mereka sentiasa menanti-nantikan kejutan daripada teman lelaki mahu pun suami.

Bagi mengatasi permasalahan tersebut, Ken mahu muncul sebagai hero kepada kaum lelaki. Kalau sebelum ini lelaki malu-malu mahu membeli tudung misalnya, Ken mencadangkan untuk semua kaum lelaki ini kalau boleh bertemu dengannya kerana dia juga sudah pakar tentang hal-hal tudung ini.

Bukan sahaja tentang material tudung yang digunakan malah Ken juga hebat dalam membuat tutorial tudung kepada kaum hawa yang memerlukannya. Jadi, Ken sentiasa bersikap terbuka untuk berbicara tentang fesyen semasa.

IKLAN

5. Hargai pendapat orang sekeliling

Kongsi Ken, jenama @tudung_i tercipta berdasarkan suara orang di sekeliling. Walaupun cara tercetusnya idea itu agak lucu namun Ken beranggapan itu adalah idea spontan yang sangat mahal dan sukar untuk didapati.

Katanya, jenama tudung itu diperolehi sewaktu dia bertengkar dengan isterinya tentang tudung tersebut.

Pada ketika itu, Ken menyatakan hasrat mahu meniaga tudung setelah hadiah tudung yang diberikan kepada isterinya itu menjadi bualan rakan-rakan tempat isteri bekerja.

Isterinya pada asalnya tidak menyokong namun sehingga hari ini, Ken masih terkenang kata-kata yang dilemparkan isterinya, “Yang you nak sibuk-sibuk kenapa? Bukan tudung you.. tudung I..!!”

Maka dari situlah jenama @tudung_i yang mula mendapat perhatian daripada pelanggan baharu di Instagramnya tercetus.

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI