Hos ‘RODA PANAS’, Fizo Omar Kongsi Kisah Minatnya Pada Dunia Permotoran

Share

Saat yang dinantikan sudah semakin tiba! ‘RODA PANAS’ musim kedua yang dibawakan secara eksklusif ke kaca TV anda oleh Nu Ideaktiv bakal ke udara pada Ahad ini, 16 Januari 2022 pada jam 6 petang di saluran Astro RIA dan juga platform penstiman Astro GO.

Sambutan yang cukup menggalakkan diterima oleh ‘RODA PANAS’ pada musim pertama tahun lalu menyaksikan momentum deras diteruskan untuk musim terbaru yang menjanjikan kemunculan kereta, motosikal dan pelbagai kenderaan beroda lebih mantap. Musim terbaru yang bakal tiba ini juga menyaksikan kemunculan hos baharu.

Jika musim lalu menyaksikan Remy Ishak sebagai hos, kini pelakon yang juga seorang usahawan berpengaruh, personaliti selebriti dunia automotif dan juga pengacara serba boleh, Fizo Omar bakal menerajui keseluruhan episod untuk ‘RODA PANAS’ pada musim ini.

Bagi MASKULIN, pemilihan Fizo Omar sebagai hos merupakan calon paling tepat kerana dia juga cukup dikenali sebagai seorang peminat tegar dunia permotoran. Kami sempat menemubual Fizo secara eksklusif di lokasi pergambaran ‘RODA PANAS’ baru-baru ini. Ikuti temu bual tersebut di bawah;

BOLEH KONGSIKAN PERASAAN BILA DIPILIH MENJADI HOS BAHARU ‘RODA PANAS’

Pertama sekali apa yang boleh saya cakap ia umpama impian menjadi realiti. Sebagai seseorang yang ‘gila’ kereta, throttle dan enjin memang sudah lama saya ada pasang impian untuk menjadi pengacara atau hos program permotoran seperti ini. Kalau diikutkan jadual saya memang penuh sangat. Namun sebab minat itu mendalam, saya cuba adjust dan akhirnya dapat juga tunaikan komitmen untuk jadi hos ‘Roda Panas’.

Program seperti ini juga akan banyak memberi saya ilmu dan belajar dengan expert serta pemilik kereta yang menjadi tetamu undangan. Bila lihat content line up itu, saya terus teruja dan tak sabar untuk merealisasikannya.

PERBEZAAN YANG FIZO AKAN TAMPILKAN BERBEZA DENGAN REMY ISHAK PADA TAHUN LALU?

Remy is Remy. Fizo is Fizo. Ya, Remy juga merupakan seorang yang sangat sukakan motorsport terutamanya motosikal. Malah kami pernah juga ride sama-sama dulu. Mungkin perbezaan yang boleh saya bawakan ialah cara penyampaian. Saya seorang ‘kaki motor’ yang lebih santai dan sempoi. Jadi bahasa penyampaian itu mungkin lebih kepada seorang macam abang-abang kaki motor atau kaki auto yang biasa orang lihat.

Nak tahu apa perbezaan saya bawakan janganlah lupa untuk tonton ‘RODA PANAS’ ya!

APAKAH KEISTIMEWAAN ‘RODA PANAS’ BAGI FIZO?

Musim pertama telah mendapat respon yang sangat baik. Ia secara tidak langsung menunjukkan ada ramai penonton yang mahukan kandungan seperti motorsport. Jadi musim kedua ini ‘RODA PANAS’, setiap episod akan ditampilkan dengan lebih teliti, menyeluruh danjuga agresif.

Lihat sahajalah pelbaai kandungan di atas talian tentang motorsport. Memang jumlah tontonannya cukup tinggi. Ia niche market yang ramai orang setia untuk ikuti. Oleh itu saya ambil kesempatan untuk ucapkan terima kasih kepada Ideaktiv dan Astro kerana lahirkan program seperti ini.

KERETA PERTAMA PERNAH FIZO MILIKI?

Kereta pertama saya adalah Perodua Kancil yang ‘dibikin’ menjadi Daihatsu Mira. Waktu itu ubah suai kereta kancil seperti ini memang sangat popular. Ia merupakan kereta yang mempunyai nilai sentimental tersendiri untuk saya. Masa beli kereta ini, saya masih lagi belajar. Arwah ayah banyak mengajar saya cari duit sendiri dan berdikari.

Demi menampung perbelanjaan dan bayaran ansuran kereta sebanyak RM180 sebulan, saya berniaga nasi lemak. Dari situ saya belajar hargai rezeki yang diperolehi. Sebab itulah kereta itu masih saya simpan dengan rapi di kampung saya, Kelantan.

Ia mempunyai nilai sentimental yang sangat istimewa. Bayangkan pada masa tu saya baru 19 tahun dan sedang belajar bagaimana untuk mencari wang.

BAGAIMANA PULA DENGAN KERETA SEKARANG?

Saya ada beberapa buah kereta yang saya gunakan untuk ikut tujuan berbeza. Saya ada kereta untuk offroad, kereta untuk layan corner dan juga MINI , MINI AGRperfect small car, kereta untuk family sepeti SUV dan MPV untuk acara kerja. Kenderaan lasak 4×4 untuk hardcore atau suatu hari nanti. Untuk motosikal pula saya sekarang lebih suka BMW GS yang bagi saya lebih santai untuk touring.

Ikuti lebih banyak perkongsian menarik dari Fizo Omar bersama MASKULIN dan juga program TV RODA PANAS nanti ya! Jangan lupa temu janji kita pada 16 Januari 2022 jam 6 petang di Astro RIA.

Ingat RODA GEMPAK, INGAT RODA PANAS!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim