Tidak dinafikan dalam tempoh beberapa hari ini isu tentang rakyat Malaysia bernikah di negara jiran, Thailand cukup hangat diperkatakan. Sebabnya mengapa rasanya MASKULIN tidak perlu perkatakan kerana anda sendiri pastinya sudah tahu.
Dalam pada masa yang sama mungkin ramai tidak tahu bahawa permohonan untuk bernikah di Thailand telah meningkat dua kali ganda. Memetik laporan dari Sinar Harian berkata peningkatan permohonan nikah di Thailand meningkat selepas pintu sempadan dibuka semula selepas dua tahun akibat pandemik Covid-19.
Seorang ejen nikah yang dikenali dengan nama Kamal berkata sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 15 hingga 20 pasangan sebulan yang mahu menggunakan perkhidmatan mereka. Namun kini jumlah tersebut telah meningkat dua kalu ganda kepada 30 hingga 40 pasangan.
Jelasnya lagi perkara itu menjadi salah satu faktor utama berlakunya peningkatan mendadak. Walaupun begitu pihaknya terpaksa juga mengehadkan jumlahnya kerana untuk memudahkan proses urusan agar lebih lancar.
Dia yang mempunyai 12 tahun pengalaman memberitahu di Songkla sahaja tidak kurang 20 pasangan dari Malaysia bernikah setiap hari dan kebiasaannya pada musim cuti sekolah ia meningkat lebih tinggi.
“Setakat ini, Songkla, Narathiwat, Yala, Pattani, Satun dan Bangkok menjadi lokasi yang diiktiraf dan diterima kedua-dua negara bagi urusan pernikahan sempadan.
“Paling kerap adalah di Songkla kerana kedudukannya dekat dengan konsulat dan memudahkan pasangan mendapatkan pengesahan pernikahan,” tambahnya lagi.
Kebanyakan pasangan mengambil risiko bernikah di negara jiran kerana proses pendaftarannya lebih mudah terutamanya buat lelaki yang ingin berpoligami.
Sumber: Sinar Harian