Perlu Jurulatih Kecergasan, Bukan Tempat Anda Menggatal

Share

Objektif utama

Sebelum mendapatkan jurulatih kecergasan, anda perlu tahu apakah tujuan utama anda dalam kesihatan dan kecergasan. Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakannya bertujuan untuk mendapatkan bentuk badan ideal, proses pemulihan terapi dan tidak tahu cara bersenam serta kurangnya progresif dalam prestasi. Apabila anda sudah tahu akan tujuan, langkah seterusnya ialah dengan mencari jurulatih dan pakar sesuai untuk mencapai tujuan tersebut.

 

Pengalaman dan kepakaran

Tidak semua jurulatih kecergasan mempunyai pengalaman dan kepakaran. Mereka ini cenderung serta pakar dalam sesuatu bidang kejurulatihan kecergasan sahaja.  Mereka yang memberi latihan dengan teknik yang betul, saban masa mereka akan lebih pakar dalam teknik pengurusan kejurulatihan. Hal ini penting bagi menentukan hasil latihan anda kelak. Pilihlah jurulatih yang mempunyai pengalaman yang luas untuk input yang lebih memberangsangkan.

Penasihat

Jurulatih kecergasan juga akan menasihatkan anda daripada aspek latihan, pemakanan dan aktiviti harian anda. Tidak kira anda seorang yang hebat dalam senaman mahupun nutrisi, anda masih memerlukan seorang yang profesional untuk menyelia latihan anda. Mereka bukan sahaja akan  memerhati malah mengingatkan anda sekiranya senaman tersebut boleh mengakibatkan kecederaan.

 

Pemakanan

Harus diingat jurulatih kecergasan kebiasaannya tidak mempunyai sijil kelayakan pakar pemakanan tetapi jurulatih kecergasan layak untuk menasihatkan anda mengambil makanan yang bertenaga serta merancang pemakanan yang seimbang, makanan yang perlu dielakkan dan patut diambil bergantung kepada tahap latihan dan prestasi anda kerana ianya berkaitan.

Kondisi Kecederaan

Tidak semua yang mempunyai sijil kejurulatihan boleh melatih anda dengan baik dan berkesan. Saya memerhati banyak kali mereka melatih dengan cara yang salah, hal ini kerana, mereka melatih bukan dengan cara yang “scientific” dan tidak memperbaharui ilmu dari semasa ke semasa. Jurulatih kecergasan juga sepatutnya boleh melatih dan mengubah suai bentuk latihan di bawah keperluan semasa anda seperti kecederaan lutut, sakit belakang dan sebagainya. Saya juga pernah melihat pelatih yang demam malah terlantar baring beberapa hari selepas bersenam kerana jurulatih mereka memberikan bentuk latihan yang tidak sesuai kepada mereka yang menderita sakit belakang.

 

Published by
Kim Rahim