Menaiki pesawat sering kali menjadi satu pengalaman yang menggembirakan, terutamanya ketika anda merancang untuk bercuti atau melawat orang tersayang. Namun, ada beberapa perkara yang sering dilakukan oleh penumpang yang tidak begitu digemari oleh kru kabin.
Memetik video di Youtube Zarul Umbrella yang menemu bual seorang pramugari, berikut adalah tiga perkara yang kru kabin tidak gemari jika anda lakukan sebagai penumpang.
Satu perkara yang sering kali menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan kru kabin adalah apabila penumpang meminta bantuan untuk mengangkat beg mereka ke ruang penyimpanan di atas.
Tahukah anda yang bukan tugas mereka untuk mengangkat beg anda? Mereka hanya boleh membantu anda sahaja. Bermaksud, anda masih perlu gunakan kudrat anda sendiri untuk mengangkat beg. Kudrat dari kru kabin hanya sekadar tambahan sahaja.
Jika selama ini anda melihat ada kru kabin yang mengangkatkan beg bagi penumpang, itu hanya sekadar budi bicara mereka bagi penumpang-penumpang yang memerlukan seperti warga emas, orang kurang Upaya (OKU), penumpang bawah umur bersendirian dan sebagainya.
Walaupun kelihatan seperti satu permintaan yang mudah, namun anda perlu fikir yang mereka bukan bertugas di satu penerbangan sahaja. Selepas anda turun dari pesawat nanti, mereka akan mengendalikan kumpulan penumpang seterusnya pula sehinggalah tamat waktu tugasan mereka.
Jika mereka mengangkat kesemua penumpang di setiap penerbangan, bayangkan berapa banyak beg yang perlu mereka angkat dalam sehari. Perkara ini berisiko mencederakan kru kabin dan boleh menganggu tugas mereka untuk mengutamakan keselamatan penumpang.
Hakikatnya, beg anda adalah tanggungjawab peribadi anda. Itulah sebabnya mengapa kebanyakan syarikat penerbangan meletakkan had berat bagi beg bawa tangan anda agar anda sendiri tidak terbeban dengannya.
Kru kabin dilatih untuk memberikan perkhidmatan yang sopan dan profesional, dan mereka juga mengharapkan perkara yang sama daripada penumpang.
Sebenarnya, kru kabin lebih gemar jika anda memanggil nama sebenar mereka yang tertera pada tag nama yang dipakai pada seragam mereka.
Jika anda tidak dapat membacanya ataupun kurang selesa, cukuplah sekadar menyapa mereka dengan gelaran biasa yang sopan seperti Encik atau Cik.
Ingat, mereka yang melayani anda untuk memastikan anda menikmati penerbangan yang selesa. Apa salahnya menghormati mereka sebagai satu tanda penghargaan.
Mematikan telefon bimbit merupakan salah satu tatacara keselamatan di dalam pesawat yang telah dipraktikkan sejak dahulu lagi. Namun dengan teknologi terkini, kebanyakan pesawat hanya memerlukan anda untuk menetapkan telefon bimbit ke mod penerbangan sahaja, terutamanya ketika waktu pesawat sedang berlepas dan mendarat.
Yang membuatkan kru kabin kurang senang ialah tempoh berlepas dan mendarat itu bukanlah satu tempoh yang lama untuk anda mengabaikan sebentar telefon bimbit anda, sekitar dua minit sahaja.
Selepas pesawat mencapai altitud yang selesa, anda boleh menggunakan telefon bimbit anda semula.
Lagipun, peraturan ini bukanlah peraturan yang baharu. Sepatutnya, ramai orang sudah faham dengan peraturan ini.
Walaupun ada syarikat penerbangan yang sudah membenarkan penggunaan peranti elektronik ketika berlepas dan mendarat, tetapi masih banyak lagi yang belum melaksanakan peraturan baharu ini. Hal ini disebabkan tidak semua syarikat penerbangan sudah memiliki pesawat yang dilengkapi teknologi untuk membenarkan pelaksanaannya.
Sesetengah penerbangan dengan jangka masa tertentu akan menghidangkan makanan untuk penumpang. Namun agak menjengkelkan bagi kru kabin apabila anda tidak dapat membuat pilihan makanan dengan segera.
Mungkin bagi penumpang yang duduk di barisan awal perlu mengambil masa untuk memilih kerana baru mendengar pilihan makanan yang ada.
Bagi penumpang lain yang duduk di barisan seterusnya, anda ada masa untuk berfikir makanan yang anda mahukan kerana sepatutnya anda sudah mendengar pilihan makanan yang ada ketika kru kabin sedang melayani penumpang di barisan sebelum anda.
Anda perlu faham yang menghidangkan makanan bukanlah satu-satunya tugas kru kabin di dalam pesawat. Mereka ada banyak tugasan lain yang perlu dilakukan sebelum mendarat. Oleh itu, tugasan menghidangkan makanan perlu diselesaikan dalam tempoh masa tertentu, terutamanya bagi penerbangan jarak dekat dengan tempoh perjalanan yang lebih singkat.
Ketika kru kabin menghidangkan makanan, mereka akan membawa troli di laluan lorong pesawat. Troli itu akan menghalang satu-satunya laluan berjalan di dalam pesawat.
Jika anda melalui lorong ketika mereka menghidang makanan, agak sukar bagi mereka untuk memberi laluan kepada anda dan hal ini mengganggu tugas mereka.
Melainkan jika anda tidak mampu menahan untuk membuang air, elakkan untuk berjalan ketika kru kabin sedang menghidang makanan.
Dengan memahami dan mengelakkan perkara di atas, anda bukan sahaja menunjukkan rasa hormat kepada pramugari dan pramugara tetapi juga membantu memastikan penerbangan berjalan lancar dan selesa.
Ingat, sedikit kesopanan dan kerjasama dari setiap penumpang boleh membuatkan pengalaman penerbangan lebih menyenangkan untuk semua.
Sumber: Youtube Zarul Umbrella
BACA: Pramugara & Pramugari Dilarang Bertugas Jika Wajah Berjerawat?