Perjalanan Beto Kusyairy Menuju Kemasyhuran Meski Tidak Idam Jadi Pelakon

Share

Go easy on yourself,” demikian nasihat Beto Kusyairy kepada mereka yang masih mencari hala tuju kerjaya.

Aktor Filem Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH35) itu ditemu bual Maskulin dalam episod ketiga Man Of The Moment yang disiarkan di saluran Youtube.

Katanya, orang ramai tidak sepatutnya menambah bebanan yang tidak perlu di bahu mereka dalam perjalanan kerjaya mereka.

“Kita ada ketentuan, kita ada takdir, kita ada usaha. Usaha sahaja apa yang kalian nak buat, dan selebihnya serahkan kepada takdir. Percaya dengan takdir, jangan runsing dengan benda yang tak sepatutnya dirunsingkan.

“Kalau betul jalannya, kalau betul usahanya, Tuhan itu Maha Adil kan?” tambahnya.

Bagi Beto, beliau tidak kesal dengan perjalanan yang ditempuhi dalam mencari hala tuju kerjayanya walaupun pernah melalui pelbagai rintangan dan dugaan.

“Saya happy dengan journey yang saya tempuh. Memang akan ada ups and downs, memang akan ada jatuh bangun. Tapi jatuh bangun itu yang menjadikan saya sebagai seorang manusia”.

Foto: Beto Kusyairy ketika tampil sebagai Man Of The Moment Maskulin.

Tidak Pernah Idam Jadi Pelakon

Mengenang kembali di saat mula menapak dalam perjalanan kerjaya, Beto memberitahu beliau melakukan pelbagai tugas di belakang tabir produksi sebagai kru sebaik sahaja beliau tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1998.

Sepanjang bertugas sebagai kru, tidak pernah sekalipun Beto memasang angan-angan untuk tampil di hadapan kamera sebagai pelakon.

“Saya buat kerja saya sahaja sampailah saya jadi bidan terjun. Masa tu saya ingat lagi, antara orang pertama yang bawa saya masuk ialah Erma Fatima, Bade Haji Azmi,” kongsinya kepada Maskulin.

Pada awalnya, Beto diberi tanggungjawab untuk menggantikan pelakon-pelakon tambahan yang tidak hadir ke set penggambaran.

Sedikit demi sedikit, Beto mula diberikan sebaris demi sebaris dialog dan seterusnya diberikan watak bernama.

Sekitar tahun 2003 barulah Beto memutuskan untuk menumpukan pada lakonan sebagai kerjaya utama.

“Saya jadi seronok, the passion came along selepas daripada itu. Terus saya decide ini benda yang saya nak buat, ini benda yang buat saya happy, ini benda yang saya nak craft sampailah sekarang,” tambahnya

Mengulas lanjut, Beto mengakui yang lakonan juga ibarat terapi yang membantu beliau untuk keluar dari zon selesa.

Lakonan Sebagai Terapi

Menyifatkan dirinya sebagai introvert, Beto merupakan seorang yang pemalu dan lambat mesra dengan orang disekelilingnya.

Apabila mula diberikan watak berdialog, Beto memaksa dirinya untuk keluar sedikit demi sedikit dari zon selesanya.

“Dia jadi satu bentuk macam terapi untuk saya pecahkan malu dan segan untuk berinteraksi. Dia seperti kita pakai satu ‘pakaian lain’ untuk kita berdepan dengan orang.

“Jadi saya jadikan ia sebagai terapi, dan selepas beberapa fasa ia menjadi passion,” katanya lagi.

Terdahulu, Man Of The Moment menampilkan jejaka seperti Aeril Zafrel dan Dato’ Zainal Abidin untuk berkongsi kisah suka dan duka dalam hidup mereka.

Saksikan episod penuh di saluran Youtube Maskulin, dan nantikan siapakah jejaka yang akan tampil pada episod seterusnya.

Published by
Ruszaini Ruslan