PERINCIAN SUZUKI SWIFT SPORT DIDEDAHKAN- MENGGUNAKAN PLATFORM HEARTECT

Share

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suzuki Motor Corporation, syarikat berkenaan bakal mendedahkan Swift Sport baharu pada acara IAA Frankfurt Motor Show ke-67, September depan.

Sejak dilancarkan pada 2005, modal hatchback berkenaan menerima sambutan menggalakkan. Malah di pasaran tempatan, hanya model Suzuki Swift sahaja mendapat tempat di hati pengguna Malaysia. Sedangkan produknya yang lain kurang popular.

Sayangnya syarikat itu telah menamatkan operasinya tahun lalu di Malaysia. Adakah Malaysia bakal menerima Swift Sport baharu nanti? Mungkin produk rebadge dari Proton? Masih samar-samar. Sementara itu, kita semak dahulu perincian Swift Sport berkenaan.

Suzuki Swift Sport generasi ketiga itu direka bentuk semula sepenuhnya dan menawarkan pelbagai peringkat keseronokan buat mereka yang menginginkan pemanduan sporty. Pihak Suzuki melakukan rombakan secara menyeluruh bermula dari rekaan sehinggalah menambah baik sektor pengendalian.

Swift Sport tersebut menerima penampilan lebih agresif menerusi pemilihan rim aloi baharu dan rekaan gril yang berbeza. Menerusi laman sesawang Suzuki, model tersebut bakal ditawarkan dengan enam pilihan warna.

Swift Sport 2017 didatangkan dengan paip ekzos berkembar bersama diffuser berwarna hitam di belakang. Masuk ke bahagian kabin, model tersebut menerima dua tona warna iaitu hitam dan merah yang menyerlahkan rasa sporty. Bahagian stereng dipadankan dengan butang kawalan.

Manakala di tengah papan pemuka tersedia skrin sentuh hiburan bersaiz 7-inci dengan sambungan Bluetooth, Apple CarPlay serta Android Auto. Tidak ketinggalan, bahagian kerusi dipadankan dengan jahitan benang berwarna merah.

Dari segi jana kuasa, Suzuki Swift Sport dikatakan bakal dilengkapi dengan enjin 1.4 liter pengecas turbo. Penghantaran kuasa ke roda disalurkan menerusi transmisi 6 kelajuan automatik atau 6-kelajuan manual. Ini merupakan kali pertama enjin pengecas turbo ditawarkan pada Swift Sport.

Model yang menggunakan platform Heartect baharu itu akan didedahkan pada 12 September di Frankfurt Motor Show ke-67.

 

GALERI

Published by
webadmin