Negara kita telah kehilangan seorang lagi tokoh negarawan yang cukup disegani. Bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang cukup dikenali dengan panggilan mesra ‘Pak Lah’, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Berita pemergian tokoh yang terkenal dengan sifat sederhana dan tenang ini disahkan sendiri oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, menerusi satu hantaran penuh penghormatan di laman media sosial Instagram beliau.

Dalam kenyataannya, Khairy menulis: “Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima, telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.”

Khairy menitipkan doa, “Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh.”

Legasi ‘Pak Lah’

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, perjalanan Tun Abdullah dalam arena politik negara bukanlah singkat. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1964.

Ads

Sebelum memegang jawatan tertinggi negara, Allahyarham pernah menyandang pelbagai portfolio penting kabinet, termasuk sebagai Menteri Luar Negeri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, membuktikan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran.

Pak Lah mengambil alih tampuk pimpinan negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Oktober 2003.

Ads

Sepanjang enam tahun pentadbirannya sehingga 3 April 2009, beliau memperkenalkan gagasan Islam Hadhari, yang menekankan pendekatan Islam yang progresif dan menyeluruh. Selain itu, beliau turut memberikan fokus kepada pembangunan modal insan dan integriti dalam jentera kerajaan.

Gaya kepimpinan beliau yang tenang, berhemah, dan mudah didekati membuatkan beliau disenangi ramai dan dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Ads

Kehidupan Peribadi

Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan seorang balu, Tun Jeanne Abdullah.

Beliau juga mempunyai cahaya mata hasil perkahwinan terdahulunya dengan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, antaranya Nori Abdullah yang merupakan isteri kepada Khairy Jamaluddin.

Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah satu kehilangan besar buat negara. Sumbangan dan legasi kepimpinan beliau, terutamanya dalam mempromosikan kesederhanaan dan integriti, akan sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia.

Sama-samalah kita mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Al-Fatihah.

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI