Bagaimana tahi mata terbentuk? Tahi mata mengandungi mukus, minyak, sel kulit dan bahan lain yang terkumpul pada tepi mata ketika tidur.
Tahi mata sebenarnya berperanan melindungi, mengeluarkan sisa buangan dan kandungan yang membahayakan daripada permukaan mata. Mata kita sentiasa mengeluarkan air mata yang meliputi bahagian depan permukaan mata.
Apabila kita mengerlip mata, permukaan mata berair dan mukus ini membantu membuang sisa kotoran sebelum ia mengeras atas permukaan mata, berbeza dengan waktu tidur yang mana mata tidak berkerlip. Jadi, kandungan kotor ini terkumpul dan mengeras pada tepi mata, lantas berlakunya tahi mata.
Jangkitan kuman
Tahi mata dengan kuantiti sedikit yang keluar selepas bangun dari tidur adalah normal terutama jika seseorang mengalami jangkitan demam dan selsema. Tetapi, jika jumlah tahi mata adalah banyak dengan warna kehijauan atau kekuningan, penglihatan kabur atau mata sakit dan pedih apabila terkena cahaya, ini mungkin tanda mata mempunyai jangkitan serta perlu mendapatkan pemeriksaan doktor mata.
Malah, individu yang pernah melalui sejarah alahan dan sering menggosok mata pada awal pagi dengan pengeluaran tahi mata berlendir atau melekit juga disarankan mendapat nasihat daripada doktor mata. Jangkitan penggunaan kanta lekap juga boleh menyebabkan pengeluaran tahi mata pada waktu pagi adalah lebih daripada biasa.
Ini disebabkan beberapa faktor, termasuk jangkitan mata disebabkan kuman. Memakai kanta sentuh terlalu lama setiap hari juga akan menyebabkan mata semakin kering dan tidak selesa. Ini antara sebab mata rasa penat dan gatal.
Jangkitan pada mata
Selain itu, keadaan ini juga boleh berlaku disebabkan jangkitan pada bahagian saluran keluar air mata. Apabila saluran keluar air mata tersumbat, kandungan tahi mata semakin terkumpul pada bahagian “lacrimal sac”.Kandungan ini boleh membiakkan jangkitan dan menyebabkan keradangan. Bahagian ini akan nampak bengkak dan sakit dan mata sering berair sekali gus menyebabkan mata bertahi.
Walaupun tiada kaitan dengan faktor genetik, bayi berusia kurang daripada setahun dengan kekerapan mata berair perlu menjalani pemeriksaan untuk memastikan pembentukan saluran air mata keluar dengan betul. Jika kanak-kanak berumur empat dan enam tahun mengalami masalah tahi mata berlendir pada setiap pagi dan sering menggosok mata disebabkan mata gatal, ibu bapa perlu membawa anak mendapatkan rawatan untuk masalah alahan mata ini.
Panduan elakkan jangkitan pada mata
* Mengelakkan menyentuh mata supaya mengurangkan jangkitan daripada merebak.
*Kerap kali mencuci tangan, lebih-lebih lagi terdapat masalah mata merah yang berjangkit
*Jika anda adalah seorang yang sering menggunakan kanta lekap, elakkan terus menggunakan ia dan berjumpa segera doktor.
* Jika mata bertahi dan merah, jangan gunakan bahan kosmetik pada mata seperti maskara dan pensil mata
•Jika mata bertahi disebabkan alahan, elakkan persekitaran tercemar kerana persekitaran bersih tanpa habuk dapat mengurangkan mata yang sensitif, gatal dan berair.
Kaedah penjagaan mata
* Satu antara enam orang dewasa mengalami masalah mata dan peratusan ini meningkat selari dengan usia.
* Antara masalah mata sering berlaku disebabkan penambahan usia adalah, katarak dan glukoma.
Jenis makanan baik untuk mata
1. Bayam
2. Sawi.
3. Oren, tembikai, betik dan pisang ( buah warna terang )