Pereka Fesyen Terbilang Dato’ Rizalman Umum Persaraan, All The Best!

Share

Siapa tidak kenal dengan nama dan jenama Rizalman. Buat penggemar fesyen tempatan dan juga nusantara, nama tersebut cukup mekar di bibir. Apatah lagi setiap rekaannya sentiasa mencuri perhatian apabila digayakan selebriti terkenal mahupun kerabat di-Raja.

Selama 30 tahun beliau mencurahkan keringat, idea dan memartabatkan industri fesyen tanah air. Dan semalam kita dikejutkan dengan berita pengumuman beliau untuk bersara sebagai pereka fesyen serta-merta.

Figura berusia 49 tahun ini dilihat membuat keputusan tersebut menerusi satu posting video di laman Instagram kendaliannya. Ia merupakan rakaman ucapan beliau di sebuah majlis Kesuma Jiwa 2020.

Menerusi video berdurasi itu beliau meminta keizinan untuk bersuara dengan cukup sebak. Menurut laporan Astro Awani, Dato’ Rizalman membuat keputusan tersebut kerana bimbang dirinya tidak bersedia untuk menghadap Yang Maha Esa.

Jelasnya, ketika masih mempunyai kudrat dan tenaga dia mahu melakukan persiapan sebaiknya sebagai bekalan untuk hari esok. Pemergian beberapa rakan-rakan industri pada usia muda turut melahirkan rasa keinsafan dalam dirinya.

“Kematian beberapa teman membuatkan saya terkesan dan terfikir bahawa Allah boleh saja mengambil nyawa kita pada bila-bila masa.”

“Saya takut tidak bersedia apabila dijemput oleh Allah. Saya mahu pergi dalam keadaan bersedia.

Pengunduran ini adalah pelan persiapan saya untuk menghadapi hari kemudian,” jelasnya di sidang media selepas berakhirnya pementasan Kesuma Jiwa di Istana Budaya.

Warhaget dan pengikutnya di laman Instagram juga tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat buatnya. Walau bagaimanapun legasi jenama Rizalman tidak akan terhenti. Ia akan diteruskan oleh pembantunya yang setia bersama selama 15 tahun iaitu Faizal Surani.

Published by
Farizul Izwany