Penyelesaian Buat Ayah-Ayah Yang Tak Tahan Tengok Gigi Anak Semakin Hitam Dan Rosak

Share

Ini perkongsian dari Dr Muhamad Iqbal Rosali yang bekerja sebagai Pegawai Pergigian. Ini jawapan bagi pertanyaan mengenai GC TOOTH MOUSSE adakah ia sesuai untuk anak-anak anda.

1. Saya bawa anak saya ke klinik gigi, doktor cadangkan GC TOOTH MOUSSE. Untuk apa dan perlu ke?

Kalau anak anda giginya tidak rosak, atau tidak bawa anak ke klinik gigi, anda pasti tidak akan pernah dengar tentang ini.

GC TOOTH MOUSSE datang dalam bentuk gel dan disapu pada permukaan gigi. Sapuan ini mengandungi 10 peratus Casein Phosphopeptide Amorphous Calcium Phosphate (CPP-ACP). Di peringkat komersial dikenali sebagai Recaldent™️

Fungsi CPP-ACP ialah untuk mengangkut kalsium dan phosphate ke enamel (lapisan luar gigi) dan membantu menguatkan gigi.

2. Kenapa anak saya perlukan GC TOOTH MOUSSE?

Biasanya sapuan ini diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah karies gigi atau pun yang menunjukkan tanda-tanda awal gigi akan rosak seperti putih-putih atau kekuningan pada gigi.

Kalau gigi anak tidak rosak, doktor gigi akan mencadangkan penggunaannya sebagai langkah pencegahan.

3. Semua orang boleh pakai ke GC TOOTH MOUSSE?

Mengikut lampiran produk, sesiapa yang alergik kepada susu lembu perlu dapatkan nasihat doktor untuk menggunakannya. Alergik maksudnya ada berlaku keradangan selepas minum susu lembu, bukan yang jenis mual atau senang muntah bila hadap susu. ?

4. Dah guna GC TOOTH MOUSSE, tapi tak berkesan pun?

Kemungkinan cara penggunaannya tidak betul.

Cara yang betul ialah, selepas disapu pada permukaan gigi, jangan makan atau minum, atau dijilat dengan lidah (sebab benda ni sedap) untuk sekurang-kurangnya 3 minit. Biarkan selama yang boleh. Lagi lama, lagi bagus.

5. Bagus ke produk ini?

Ya. Sangat berkesan jika penggunaannya betul teratur. Gigi yang sudah rosak teruk memang tidak dapat diselamatkan dengan produk ini, tetapi mampu mencegah gigi-gigi lain daripada rosak. Produk ini juga boleh membantu menguatkan semula gigi yang menunjukkan tanda-tanda awal karies gigi.

6. Anak saya disapukan Flourida ketika lawatan ke klinik gigi. Adakah sama dengan GC TOOTH MOUSSE?

TIDAK. Sapuan flourida di klinik gigi mengandungi 2 kali ganda tahap kepekatan flourida berbanding ubat gigi dewasa. Hanya doktor gigi atau jururawat pergigian sahaja yang boleh menyapu flourida pada gigi.

GC TOOTH MOUSSE tidak mengandungi flourida. Ia selamat jika tertelan, tapi ia bukanlah makanan (walaupun rasanya sedap)

7. Bolehkah dipakai setiap kali sebelum tidur?

Boleh. Waktu tidur kemungkinan sapuan tidak dikacau atau dijilat adalah tinggi. Lebih lama sapuan dibiarkan pada gigi, lagi bagus dan berkesan.

8. Umur berapa boleh gunakan? Selamatkah untuk bayi?

Sesiapa sahaja boleh gunakannya. Ibu mengandung juga digalakkan. Ya, ia selamat untuk bayi.

 

SUMBER : FACEBOOK IQBAL ROSALI

Published by
Kim Rahim