Kesihatan

Penyanyi Terkenal Korea, Wheesung Ditemui Meninggal Dunia Di Kediamannya

Share

Industri muzik Korea Selatan sekali lagi dikejutkan dengan berita tragis apabila penyanyi terkenal Wheesung ditemui meninggal dunia. Dia ditemui di kediamannya di Seoul semalam pada 10 Mac, menurut laporan Yonhap News yang memetik sumber polis.

Penyanyi berusia 43 tahun itu, yang nama sebenarnya Choi Whee-sung, ditemui tidak dalam keadaan kaku oleh ibunya sebelum pihak kecemasan dihubungi.

Kejadian ini berlaku kurang sebulan selepas pelakon Kim Sae-ron juga ditemukan meninggal dunia. Secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan mengenai tekanan dalam industri hiburan Korea Selatan.

Menurut laporan daripada JoongAng Ilbo, pihak polis sedang menyiasat punca kematian. Ini termasuklah kemungkinan sama ada bunuh diri atau pengambilan dadah berlebihan dos.

Setakat ini, tiada tanda-tanda pencerobohan atau unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian. Bagi memastikan punca sebenar kematian, pihak berkuasa merancang untuk menjalankan bedah siasat dengan kerjasama Perkhidmatan Forensik Kebangsaan.

Legasi Seni dan Kejatuhan

Wheesung memulakan kariernya dalam industri muzik pada tahun 2002 dengan album Like A Movie, sekali gus mencuri perhatian ramai menerusi vokalnya yang mantap.

Beliau terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Can’t You, Insomnia, dan Even Thought Of Marriage yang menjadi siulan peminat.

Selain bergelar penyanyi, Wheesung juga berbakat dalam bidang penulisan lagu. Karya-karyanya dinyanyikan oleh beberapa artis terkenal. Antaranya Dance The Night Away (TWICE), Crazy Because of You (T-Ara), Heaven (Ailee), dan Sonata of Temptation (Ivy).

Kejayaan ini menjadikannya antara komposer dan penulis lirik yang disegani di Korea Selatan. Namun, perjalanan seninya mula terjejas apabila dia dikaitkan dengan isu penyalahgunaan dadah sekitar lima tahun lalu.

Kes tersebut menyaksikan Wheesung dijatuhkan hukuman penjara selama setahun selepas didapati bersalah memiliki dan menggunakan ubat terlarang secara haram.

Selepas dibebaskan, beliau kembali aktif dalam industri muzik dan dijadualkan mengadakan konsert bersama penyanyi KCM di Daegu pada 15 Mac ini.

Kejutan Buat Keluarga dan Peminat

Berita pemergian Wheesung memberi tamparan hebat kepada ahli keluarga dan peminatnya.

Pihak agensi mendiang, Tajoy Entertainment, dalam satu kenyataan menyatakan bahawa upacara pengebumian akan diadakan secara tertutup mengikut permintaan keluarga terdekat.

“Proses pengebumian terpaksa ditangguhkan kerana keluarga masih dalam keadaan terkejut dan berduka dengan berita yang mengejutkan ini,” kata wakil agensi tersebut.

“Majlis peringatan akan diadakan secara tertutup dengan kehadiran ahli keluarga dan kenalan rapat sahaja.”

Di saat peminat masih dalam keadaan tidak percaya, satu lagi kenyataan dari agensi mendedahkan bahawa punca kematian Wheesung dipercayai akibat serangan jantung. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian beliau.

BACA: Promosikan Kongsi Gelap Di Laman Media Sosial, 6 Lelaki Diberkas Pihak Berkuasa

Dengan pemergian Wheesung, industri K-pop kehilangan seorang lagi bintang berbakat yang pernah menyinari dunia hiburan dengan suara dan karya-karya hebatnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan segala legasi seninya terus diingati oleh peminat di seluruh dunia.

Sumber: Koreatimes, Naver

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim