Masyarakat Islam sedunia menerima seorang lagi saudara baharu apabila penyanyi rap Amerika Syarikat, Lil’ Jon kini memeluk agama Islam baru-baru ini.
Memetik laporan Sinar Plus, pengislamannya diketahui umum melalui satu video yang tular di media sosial, memaparkan Lil’ Jon melafazkan kalimah syahadah dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris pada Jumaat di sebuah masjid di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Lil’ Jon, atau nama sebenar Jonathan H Smith, 53, menitipkan ucapan terima kasih kepada umat Islam yang mengucapkan tahniah, memberikan sokongan dan semangat menerusi hantaran di laman sosial Instagram
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara sekalian atas curahan kasih sayang dan positiviti,” kongsinya.
Menurut portal berita Turki, Daily Sabah, penyanyi rap itu mengumumkan keputusannya itu di hadapan jemaah yang besar.
Jon yang memakai kopiah merah dalam video berdurai 1 minit 50 saat itu lancar melafazkan syahadahnya di King Fahd Mosque.
Beliau yang juga DJ dan penerbit cukup dikenali dalam arena muzik Hollywood melalui beberapa lagu serta kolaborasi dengan artis lain termasuk Yeah oleh Usher.
Terdahulu, berita pengislaman aktivis terkenal Shaun King turut mencuri perhatian media antarabangsa pada Ramadan tahun ini.
Kredit Sumber: Sinar Plus
BACA: Aktivis AS Perjuang Isu Palestin Shaun King & Isteri Peluk Islam Di Hari Pertama Ramadan