Penyakit Misteri ‘Serang’ Orang Asli, 120 Orang Suku Kaum Batek Semakin Buntu!

Share

Kulit jadi bersisik dan berkudis sejak tiga bulan lalu. Itulah penyakit misteri yang sedang dihadapi 120 penduduk Orang Asli dari suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh.

Mereka yang menetap dekat Gua Musang, Kelantan semakin buntu apabila sehingga hari ini, ia menjejaskan 30 keluarga membabitkan usia dua hingga 30 tahun.

Sudah melanda sejak Oktober

Penghulu Kampung itu, Mamat Pokok, 36, berkata, penyakit misteri itu sudah melanda Orang Asli di situ sejak beberapa bulan lalu.

“Pada asalnya, penyakit itu hanya menyerang 50 penduduk kampung bermula Oktober tahun lalu sebelum ia merebak dalam kalangan penduduk kampung.

“Sehingga kini, penduduk bingung dengan penyakit yang masih belum diketahui punca dan penawarnya biarpun sudah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Bukan berpunca dari air bukit

Tegas Mamat, mereka sendiri tidak tahu punca dari mana penyakit itu berjangkit dan mereka tidak mengesyaki ia berpunca daripada penggunaan air bukit kerana ia bersih.

Namun dalam masa sama, mereka tidak menolak ia berkait penyakit keturunan kerana pelbagai kaedah rawatan termasuk di klinik dan tradisional sudah dicuba namun gagal.

Mohon pemantauan pihak berkuasa

Selaku penghulu kampung, Mamat berharap pihak Jabatan Kesihatan Kelantan dapat datang ke kampung terbabit untuk jalankan pemeriksaan kerana dibimbangi lebih ramai akan dijangkiti penyakit sama.

Anak tergaru-garu

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Yati Ripin, 29, berkata, anak lelakinya yang berusia tiga tahun turut dijangkiti penyakit misteri itu sejak sebulan lalu.

“Pada mulanya, saya lihat badan anak bersisik, namun selepas seminggu ia berkudis dan bernanah. Kini ia mula merebak ke muka, lengan dan punggung.

“Memang sedih melihat anak tidak dapat tidur lena asyik tergaru-garu kerana gatal di seluruh badan. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana penyakit itu masih tidak sembuh biarpun sudah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Published by
Akyem Samad