Berita

Penunggang Motosikal Sesat Enam Jam Dalam Hutan Gara-Gara Percayakan Waze

Share

Pengguna kenderaan pada zaman kni tidak dinafikan sangat bergantung kepada aplikasi tunjuk arah seperti Waze. Namun, jika tidak ditetapkan dengan betul ia boleh membawa ke jalan merepek! Itulah yang berlaku kepada seorang penunggang motosikal baru-baru ini.

Seorang pemuda berusia 32 tahun yang sepatutnya pulang ke Pulau Pinang selepas berhari raya di rumah seorang rakan di Sungai Lalang berdepan detik cemas. Ini selepas mendapati dirinya sesat selama enam jam di hutan Felda Teloi Kanan, Kedah.

Kejadian malang itu telah menimbulkan perbincangan hangat di laman sosial di kalangan warganet tentang keberkesanan aplikasi navigasi seperti Waze dalam menunjukkan arah yang betul terutamanya di kawasan pedalaman.

Penunggang motosikal tersebut memilih untuk menggunakan Waze sebagai panduan arah ke destinasi seterusnya iaitu rumah abangnya di Sungai Petani.

Namun, nasibnya tidak baik apabila aplikasi tersebut membawanya masuk ke dalam kawasan hutan yang gelap dan terpencil pada jam 1 pagi. Lebih malang lagi kawasan tersebut terdapat sedikit atau hampir hingga tiada langsung liputan telekomunikasi.

PANGGILAN KECEMASAN

Setelah beberapa kali melalui jalan yang sama tanpa hasil, barulah pada jam 7 pagi, dia menemui kawasan yang mempunyai sedikit liputan dan terus membuat panggilan kecemasan.

Operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil. Pasukannya menemukan mangsa pada jam 8.10 pagi dalam keadaan lemah serta terketar-ketar dan menangis akibat panik.

Selepas ditenangkan dan diberikan rawatan awal pemuda tersebut dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Teloi Timur untuk pemeriksaan lanjut. Kes ini juga telah dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

BUKAN KALI PERTAMA

Insiden ini bukanlah yang pertama berlaku di kawasan tersebut. Menurut penduduk setempat, tersesat di kawasan kampung itu memang kerap berlaku, terutama pada waktu malam.

Kawasan ini dikelilingi oleh kebun getah dan laluan yang sepatutnya diambil ialah Jalan Persekutuan Alor Setar – Butterworth yang hanya 10 minit perjalanan ke Sungai Petani.

BACA: Pelakon Filem Nang Nak, Winai Kraibutr Meninggal Dunia Selepas Lima Tahun Derita

Kisah ini mengingatkan kita tentang pentingnya memilih laluan yang lebih dikenali dan elakkan mengambil jalan pintas yang tidak familiar, terutama di kawasan yang jarang dilalui.

Selain itu, ia juga menyerlahkan keperluan untuk aplikasi navigasi mengemaskini data mereka secara berkala untuk mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan.

Anda sebenarnya boleh elak laluan yang bukan-bukan seperti ini dengan membuat tetapan yang betul di aplikasi Waza.

1) Buka aplikasi waze dan pilih setting.
2) Klik pada pilihan yang yang dikehendaki seperti suara dan paparan visual.
3) ‘ON’ butang elak jalan sungai, jalan berbelit dan sebagainya.
4) Akhir sekali pilih ‘Don’t allow’.

Semoga kejadian ini memberikan pengajaran kepada kita semua khususnya yang sering bergantung kepada aplikasi seperti Waze.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Sumber: Sinar Harian

Published by
Farizul Izwany Ibrahim