Dalam tempoh beberapa hari ini masyarakat global heboh membicarakan tentang mutasi terbaru virus COVID-19 yang dikatakan penularan lebih cepat dan meluas dari United Kingdom (UK).
Ia dapat disaksikan dengan beberapa negara Eropah terutamanya yang berjiran dengan UK mengetatkan pergerakan di sempadan.
Namun sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum menerima sebarang laporan penularan varian baharu virus tersebut di negara kita.
Mengulas perkara tersebut, Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Adham berkata sekiranya terdapat laporan berkaitan virus tersebut, jujukan genom akan dilakukan bagi mengenal pasti kehadiran varian selain menganbil tindakan pencegahan perebakannya.
Memetik laporan BERNAMA, beliau juga menegaskan bahawa Malaysia masih belum buka sempadan negara sepenuhnya kerana bimbang kes COVID-19 dari luar negara seperti ini berlaku.
“Setakat ini, beberapa negara seperti Arab Saudi dan Jerman telah menggantung penerbangan dari United Kingdom disebabkan varian baharu virus itu.
“Dulu, Malaysia pernah berdepan dengan Kluster Sivagangga yang mana mutasi jenis D614G itu menyebabkan COVID-19 lebih mudah berjangkit … sebab itu, kawalan sempadan negara sangat penting ketika ini,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian baharu itu atau nama saintifiknya VUI 202012/01 didapati mempunyai tahap jangkitan lebih tinggi iaitu sebanyak 20 peratus.
Sementara itu, Dr Adham memuji tindakan pantas serta kerjasama antara kerajaan negeri Terengganu dan petugas barisan hadapan negeri itu dalam mengasing dan merawat individu dikesan positif COVID-19 serta kontak rapat pesakit.
“Tindakan itu sangat berkesan dalam mengawal COVID-19 di Terengganu dan tahap pematuhan penduduk juga sangat baik. Program Pengurangan Risiko Daerah (DRCP) yang dijalankan juga terbukti berjaya memastikan tiada zon merah COVID-19 di Terengganu setakat ini.
“Program COMBI (Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku) dan Kospen (Komuniti Sihat Perkasa Negara) juga digerakkan untuk mendidik komuniti agar terus mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) bagi mengekang penularan COVID-19 secara berterusan,” katanya.
Semoga barisan hadapan negara terus tabah dan kuat untuk mengharungi cabaran yang saban hari masih tiada petunjuk akan berakhir. Namun berita kemunculan vaksin yang bakal negara perolehi pada Februari tahun hadapan mampu memberikan sedikit sinar dan kelegaan buat kita semua.
Jangan lupa untuk follow Instagram MASKULIN!
Sumber: BERNAMA