Rezeki terpijak. Itulah frasa tepat yang sesuai untuk dikatakan kepada Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29, yang merupakan seorang peniaga bundle apabila dia secara tidak sengaja menemui sejumlah duit dengan matawang Jepun bernilai 550,000 yen.
Menariknya, duit yang berkepok-kepok itu tersimpan rapi di dalam sebuah dompet namun tiada sebarang pengenalan diri siapakah pemilik sebenar duit yang sebegitu banyak tersebut.
Nilainya dalam duit Malaysia adalah RM20,755.84
Apabila nilai 550,000 yen itu ditukarkan kepada duit Malaysia, nilainya mencecah RM20,755.84 dan dengan nilai tersebut, banyak perkara yang melibatkan duit boleh diselesaikan secara sedikit demi sedikit.
Beli dua guni dengan harga RM100
Ujar Wan Mohamad Adam yang menetap di Kampung Tualang Salak, Jelawat, Bachok, Kelantan, dia pada asalnya membeli dua guni pakaian bundle dengan harga masing-masing RM50 di sebuah gudang di Wakaf Bharu pada Sabtu lalu.
Dia menemui beg berisi duit itu di dalam saku sehelai kot sewaktu memunggah pakaian bundle yang dibelinya bagi memulakan perniagaan dalam masa terdekat.
Terkejut dengan penemuan itu
Akui Wan Mohamad Adam, dia benar-benar terkejut melihat wang tunai yang sebegitu banyak lalu membuat keputusan untuk mengiranya terlebih dahulu sebelum berkongsi foto yang diambil ke media sosial.
Anggap rezeki selepas beli 10 guni bundle
Bercerita lanjut tentang penemuannya itu, Wan Mohamad Adam berkata, penemuan wang itu adalah rezeki untuknya selepas membeli lebih 10 guni ‘bundle’ sejak sebulan lalu.
Namun netizen rata-rata meluahkan komen meminta Wan Mohamad Adam merujuk kepada pakar agama atau ustaz terlebih dahulu sebelum menggunakan duit tersebut bagi mengelakkan sebarang keraguan.
Sehubungan itu Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, wang yang ditemui tanpa pemilik dan tidak dituntut oleh sesiapa perlu diserahkan kepada Baitulmal untuk kegunaan umum.
Oleh kerana kes tersebut berlaku di Kelantan, maka wang berkenaan boleh diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk diuruskan.
Kata mufti, tak kiralah wang itu dari negara kita atau negara lain, ia tetap wang yang ditemui tanpa pemilik dan menjadi tanggungjawab individu untuk mencari tuannya terlebih dahulu dan jika gagal, barulah serahkan kepada Baitulmal.