Atlet renang dari Itali, Thomas Ceccon dilihat tidur di kawasan taman di Paris selepas mengadu tentang kemudahan penginapan di perkampungan Sukan Olimpik Paris 2024.
Memetik laporan Daily Mail, Thomas meluahkan rasa kecewa dengan penginapan para atlet di kejohanan itu dan mendakwa sukar untuk tidur malam mahupun tidur siang.
“Tiada pendingin hawa di perkampungan, ianya panas, makanan juga teruk,” ujarnya yang merangkul pingat emas dalam acara kuak lentang 100-meter kategori lelaki minggu ini.
“Ramai atlet berpindah disebabkan alasan ini. Ia bukan alibi atau alasan, ia adalah kenyataan yang mungkin tidak semua orang tahu,” tambah Thomas.
“Biasanya, apabila saya di rumah, saya sentiasa tidur pada waktu petang. Di sini saya bergelut dengan kepanasan dan bunyi bising,” luah atlet berusia 23 tahun itu lagi.
Atlet dayung dari Arab Saudi, Husein Alireza melihat Thomas tidur beralaskan tuala di sebuah taman lalu mengambil gambar dan memuat naiknya di laman Instagram
Selain Thomas, perenang dari Australia dan Perancis sendiri iaitu Ariarne Titmus dan Assia Touati turut mengadu mengenai penginapan yang disediakan oleh Paris selaku tuan rumah kejohanan tahun ini.
Meskipun berjaya mempertahankan pingat emas bagi acara gaya bebas 400 meter, Ariarne beranggapan yang dia mampu memecahkan rekod dunia jika diberikan penginapan yang lebih selesa.
“Ia mungkin bukan masa yang saya fikir saya mampu, tetapi tinggal di Perkampungan Olimpik menyukarkan saya untuk beraksi,” kata Ariarne ketika ditemu bual selepas perlumbaan.
“Ia pastinya dibuat bukan untuk prestasi tinggi, jadi ia mengenai siapa yang benar-benar boleh menguatkan semangat dalam fikiran”.
Katil di Perkampungan Olimpik Paris 2024 menjadi tumpuan utama disebabkan ketidakselesaannya.
Katil bujang yang dihasilkan oleh Airwave menggunakan bingkai yang diperbuat daripada kadbod sebagai salah satu usaha kelestarian penganjur.
Bagaimanapun, usaha kelestarian itu memperjudikan keselesaan apabila katil itu didakwa mudah mendap oleh beberapa atlet selepas malam pertama menggunakannya.
Selain itu, penginapan mereka juga didakwa tidak mirip langsung dengan sebuah hotel apabila mereka perlu mendapatkan sendiri beberapa keperluan seperti tisu tandas.
Sumber: Daily Mail
BACA: Atlet Palestin: Impian & Jasad Terkubur Akibat Kekejaman Rejim Zionis