Modifikasi kenderaan merupakan satu hobi yang sangat popular di negara kita. Sama ada kereta, motosikal, van mahupun bas sekali pun – modifikasi mendapat tempat yang cukup istimewa di kalangan peminat auto.
Akan tetapi terdapat batas dan peraturan tertentu yang telah ditetapkan oleh piha berkuasa akan tahap modifikasi yang dibenarkan. Ini bertujuan memastikan keselamatan dan juga keseleaan pengguna jalan raya yang lain.
Salah satu modifikasi yang tidak kurang popular ialah penggunaan hon yang melebihi satu nada atau berirama. Kenderaan seperti kereta, van atau bas biasanya dilengkapi hon standard yang mengeluarkan bunyi satu nada sahaja.
Namun kini seakan sudah menjadi trend ubah suai hon yang mengeluarkan bunyi melebihi satu nada atau berirama sangat popular. Perkara ini dapat diperhatikan dan sangat popular di kalangan pemandu trak, lori dan juga bas.
Tapi ramai yang tidak tahu bahawa modifikasi atau ubah suai hon seperti itu merupakan satu kesalahan undang-undang.
Tahukah anda bahawa kenderaan yang menggunakan hon tersebut boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Nazli Md Taib berkata, Operasi Penguatkuasaan Hon Melebihi Satu Nada atau Berirama telah dijalankan sejak 1 Mac lalu di sekitar negeri ini hasil aduan awam.
Jelasnya, hon seperti itu kini semakin popular di kalangan pemandu dan pemilik kenderaan berat seperti lori dan bas. Hon merupakan instrumen penting pada sebuah kenderaan yang berfungsi memberi amaran, peringatan atau isyarat kepada pengguna jalan raya yang lain dengan sistem bunyi.
“Namun begitu penggunaan hon yang melebihi satu nada atau nada berirama ini boleh mengelirukan pengguna jalan raya lain tentang isyarat yang ingin disampaikan serta boleh mengganggu ketenteraman awam sekiranya dibunyikan di kawasan perumahan,” jelasnya lagi.
Pengguna atau pemilik kenderaan menggunakan hon seperti dinyatakan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ia membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan.
Selain itu, pemasangan hon kategori tersebut secara aksesori (retrofit) juga boleh diambil tindakan saman di bawah Kaedah 24(i) Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu ‘memasang hon melebihi satu nada’.
“Pemilik kenderaan perlu hadir pemeriksaan di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah dibuat tindakan pembetulan dengan membuang semula ‘hon tenonet’ yang dipasang. Notis Penarikan Semula Larangan Penggunaan Kenderaan (PG2) akan dikeluarkan selepas pemeriksaan kenderaan dibuat.
“Kompaun juga perlu dijelaskan atau kes dibawa ke mahkamah bagi tindakan lanjut,” katanya.
Tegas beliau, penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
Jangan lupa follow IG Maskulin untuk update terkini gaya hidup lelaki!