Pendarahan Dalam Perut, Sakit Pinggang Antara Kesan Pengambilan Jamu Tiruan

Share

Bahan larangan yang biasa dikesan dalam produk tradisional seperti maajun atau jamu tidak berdaftar adalah bahan aktif bagi ubat terkawal yang hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau oleh ahli farmasi.

Antara bahan larangan yang dikesan adalah ubat tahan sakit seperti phenylbutazone, ibuprofen dan diclofenac, steroid seperti dexamethasone dan prednisolone, ubat rawatan kencing manis seperti metformin dan glibenclamide. Bahan larangan ini bergantung kepada tuntutan perubatan yang diisytiharkan pada produk itu. Antara tuntutan lazim bagi produk tradisional adalah rawatan sakit tulang, sendi, menambah tenaga dan meningkatkan selera makan.

Pengguna yang mengambil produk tradisional yang dicampur racun terdedah kepada risiko kesan sampingan kerana kuantiti yang dimasukkan ke dalamnya adalah tidak konsisten dan boleh menjadi terlalu tinggi atau rendah. Pada awalnya pengguna akan merasakan produk itu berkesan dan memberi kesan diingini, namun akhirnya mengalami kesan buruk pengambilan produk.

Kesan sampingan dialami mungkin berbeza antara seorang pengguna dengan pengguna lain bergantung kepada faktor seperti taraf kesihatan, gaya hidup dan pemakanan. Tempoh masa untuk pengguna itu menunjukkan kesan sampingan dan tahap keseriusannya juga berbeza.

Kesan sampingan dialami akibat pengamblan steroid seperti selera makan yang luar biasa, sembab yang ketara (oedema), luka lambat sembuh, meningkatkan tekanan darah, kerosakan buah pinggang dan Cushing’s Syndrome.

Kesan pengambilan Phenylbutazone pula menyebabkan pendarahan dalam perut, kesan melecur pada kulit, kabur penglihatan, kegagalan buah pinggang dan Steven-Johnson Syndrome. Pengambilan ubat Anti-Inflamatori Bukan Steroid (NSAIDS) pula menyebabkan gastrik, pendarahan dalam perut dan kerosakan buah pinggang

Pengguna yang mengalami kesan sampingan seperti di atas atau mengalami kesan segera apabila menggunakan produk maajun atau jamu tradisional dinasihatkan berhenti menggunakan produk dan mendapatkan nasihat dan rawatan pengamal perubatan berdaftar.

Sila bawa bersama produk diambil untuk memudahkan pengesanan. Pengguna juga boleh melaporkan salah laku berhubung penjualan produk tidak berdaftar kepada pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi di negeri masing-masing sama ada dengan datang sendiri, melalui surat atau telefon ke Bahagian Perkhidmatan Farmasi.

Published by
Kim Rahim