Pencarian Kini Berakhir, Mierul Aiman Dinobatkan Sebagai Juara Hero Remaja 2021

Share

Jenama ‘HERO REMAJA’ sememangnya cukup sinonim terutamanya dalam industri seni tanah air dengan menjadi salah sebuah platform cukup dipercayai mengetengahkan bakat-bakat baharu.

Edisi terbaru yang merupakan edisi kesebelas telah pun melabuhkan tirainya pada 6 November 2021 yang lalu dengan menyaksikan pemuda berusia 23 tahun, Mierul Aiman telah dinobatkan sebagai juara Hero Remaja 2021.

Turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria, On Demand dan aplikasi Astro Go, finale ini dibawakan selama satu jam setengah dengan menyaksikan empat orang finalis berentap di pentas akhir.

Empat finalis untuk malam finale tersebut ialah Mierul Aiman, Aqil Taqee, Fazziq Muqris dan Afiq Hamidon. Setiap peserta finale memberikan saingan cukup sengit menerusi tiga cabaran utama.

Pada malam tersebut, mereka telah dihakimi oleh dua orang juri tetap program Hero Remaja iaitu Datuk Rosyam Nor dan Dewi Remaja 2005/2006, Scha Alyahya tanpa kehadiran juri jemputan.

CABARAN BERBEZA

Cabaran pertama menyaksikan mereka perlu menyahut cabaran sebagai pengacaraan solo secara langsung. Setiap finalis perlu menyampaikan poin berkaitan empat buah filem arahan Allahyarham Mamat Khalid yang diminati penonton tempatan selama dua minit yang diberikan.

Antara filem yang dipilih ialah Hantu Kak Limah Balik Rumah (Afiq), 17 Puasa (Fazziq), Rock Oo (Aqil) dan Zombie Kampung Pisang (Mierul). Memasuki pusingan kedua, satu kelainan baharu disuntik oleh pihak penganjur dan produksi di pentas finale Hero Remaja menerusi cabaran sketsa lakonan untuk pertama kalinya dalam sejarah penganjuran.

Mereka diberikan masa selama empat minit bagi menyampaikan persembahan sketsa mengikut idea, skrip dan memilih pelakon iringan sendiri pada malam tersebut. Di sinilah momen di mana masing-masing menunjukkan kelebihan bakat mereka sebagai anak seni di samping pelakon-pelakon hebat Malaysia seperti Ruminah Sidek (Fazziq), Wan Maimunah (Mierul), Johan As’ari (Aqil) dan Wani Kayrie (Afiq).

Segmen ketiga dan terakhir menyaksikan finalis berdepan sesi soal jawab (Q&A) bersama juri tetap. Masing-masing mendapat topik mutakhir yang menjadi bualan ramai seperti mengenai golongan antivaksin (Aqil), jenaka rogol dalam kalangan rakan (Fazziq), musuh utama dunia (Mierul) dan juga sama ada remaja wajar lantang bersuara atau mendengar dengan teliti (Afiq).

PERSEMBAHAN MEYAKINKAN

Ternyata setelah mereka diadili dalam tiga segmen tersebut, Mierul Aiman mendahului lain-lain peserta dengan persembahan yang cukup menyakinkan juri serta penonton. Mierul dinobatkan sebagai juara oleh Datuk Rosyam Nor, manakala kedudukan finalis lain adalah seperti berikut; Naib Juara, Aqil Taqee; Pemenang Tempat Ketiga, Fazziq Muqris dan Pemenang Tempat Keempat, Afiq Hamidon.

Dua lagi kategori yang turut disampaikan pada malam tersebut menjadi milik Aqil Taqee bagi kategori Hero Inspirasi dan Syazani Zainal bagi kategori Hero Favourite hasil undian peminat di laman web rasmi Majalah Remaja sepanjang percarian berlangsung.

Untuk pengetahuan, sesi uji bakat Hero Remaja 2021 telah dianjurkan pada Disember 2020 secara atas talian seiring dengan norma baharu yang ditetapkan pada musim pandemik COVID-19 di Malaysia. Sesi tersebut kemudiannya disambung semula menerusi uji bakat secara fizikal dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada April 2021.

12 orang finalis terpilih kemudian diperkenalkan menerusi siri Prelude Hero Remaja 2021 sebanyak lapan episod di saluran Astro Ria, On Demand dan di aplikasi Astro Go sejak 13 Julai lalu.

Ia diikuti oleh tayangan program Hero Remaja 2021 sebanyak lapan buah episod bermula 11 September 2021. Sepanjang lebih empat bulan itu, 12 orang finalis menyaksikan pebagai cabaran utama yang perlu diharungi bagi mencungkil potensi mereka sebelum menyertai industri seni selepas ini.

Pencarian Hero Remaja 2021 turut menampilkan juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar sebagai pasangan hos. Ia juga meraikan kehadiran penaja, NIVEA Men menerusi beberapa episod yang ditayangkan.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim