Bermula dengan memuat naik kandungan di laman YouTube, Syahmi Sazli kini melebarkan kariernya sebagai pelakon, penulis skrip, penerbit dan pengarah menerusi filem ‘Mael Totey The Movie’. Dengan jumlah tontonan yang luar biasa tinggi di YouTube, Syahmi mencuba nasib pula menerbitkan filem dengan tayangan di Astro First. Ternyata penangan karyawan muda dari Kelantan ini cukup berbisa.
‘Mael Totey The Movie’ merupakan filem pertama Syahmi Sazli yang kini telah meraih sebanyak RM2.56 juta. Angka luar biasa itu berjaya dikutip dalam tempoh empat hari tayangan sahaja sejak mula ditayangkan pada 22 Oktober lalu menerusi pawagam rumah anda, Astro First.
Untuk rekod, angka tersebut mencatat sebagai kutipan paling tinggi pernah dicatatkan di platform Astro First (first run film) dan sekali gus memecah rekod terdahulu yang dipegang oleh filem Syif Malam Raya.
‘Mael Totey The Movie’ mengangkat genre drama komedi dan mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.
Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya. Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.
Penangan hebat filem ini membariskan Syahmi Sazli sendiri bersama pelakon setianya yang sentiasa muncul di YouTube iaitu Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail, penyampai radio GEGAR, Ewan, serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi.
“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton, peminat, pengikut kami serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang memberi sokongan padu pada filem ini.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih buat pihak Astro serta radio ERA, SINAR, ZAYAN dan terutamanya radio GEGAR yang banyak membantu dan memberi sokongan dari fasa produksi sehingga fasa promosi sekarang ini.
“Tidak dilupakan buat rakan media yang tidak putus-putus menghebahkan karya-karya saya selama ini. Saya tidak menyangka filem arahan pertama saya akan mendapat sambutan luar biasa. Fenomena yang tercetus ini memberi semangat baharu buat saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” jelas penerbit dan pengarah Filem Mael Totey The Movie, Syahmi Sazli.
Bagi pihak Astro Shaw & Nusantara, pihak mereka sentiasa komited untuk membuka ruang dan menyediakan platform kepada pengkarya tempatan untuk menayangkan hasil kerja mereka kepada penonton.
Jelas Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina berkata inisiatif ini dilihat mampu memberi jalan positif untuk pengkarya menjana semual ekonomi dalam industri hiburan dalam tempoh sekarang.
“Sesuatu yang agak istimewa tentang Mael Totey The Movie, ia merupakan hasil filem pertama produksi dan arahan bakat kreatif, Syahmi Sazli dan kejayaan ini telah menambahkan lagi sinar harapan baru buat industri perfileman tempatan yang terjejas akibat Covid-19.
“Disamping itu, kejayaan ini juga secara tidak langsung telah melahirkan bakat baru dan menjadi game changer di dalam industri di mana seorang Youtuber berusaha memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi.
“Sokongan positif diberikan oleh para penonton mendorong pihak kami untuk membawakan lebih banyak filem yang dilihat berpotensi sebagai karya terbaik dan menepati cita rasa penonton.”
Tahniah buat Syahmi Sazli dan pasukan produksinya. Sedikit sebanyak ia memberikan inspirasi kepada pembikin kandungan terutamanya menerusi YouTube untuk terus maju.
Jangan lupa untuk follow YouTube MASKULIN untuk content menarik seperti di bawah. Semoga penangan content MASKULIN juga mampu buat anda terinpirasi.