Dalam melayari bahtera perkahwinan, sudah pastinya tidak semuanya indah sahaja. Semua itu adalah asam garam rumah tangga yang perlu dirasai setiap pasangan suami isteri.
Pengalaman itu kini telah banyak dizahirkan dalam bentuk jenaka menerusi kandungan-kandungan di media sosial.
Namun adakalanya kandungan sedemikian mungkin dianggap berlebihan dan mampu menimbulkan salah faham mengenai peranan serta tanggungjawab sebenar suami dan isteri di dalam institusi rumah tangga.
Seorang pempengaruh kecergasan dan bina badan yang dikenali sebagai Pijie tampil meluahkan kebimbangan tersebut menerusi satu perkongsian video di laman Tiktoknya.
Dia meluahkan tidak gemar melihat jenaka rumah tangga yang menyerlahkan sisi kurang ajar seorang isteri dan betapa lembiknya seorang suami dalam menangani perkara itu.
@pijjie_fitness2jgn jadi lembik dan dayus wahai suami♬ original sound – Pijjie Fitness 2
“Bila sebut pasal jenaka rumah tangga sahaja kan, orang perempuan mesti kurang ajar. Jenis tak boleh kalah, dah minta maaf salahkan suami balik.
“Kalau tak kurang ajar, mesti merumitkan. Merajuk dengan suami atas sebab-sebab yang tak menentu lah, jeling-jeling suami, tengking-tengking suami.
“Yang lelaki pula mesti lembik, takut bini. Lepas itu bila bini dia kurang ajar, dia tak buat apa-apa. Buat bodoh, nak tegur bini pun takut,” ujarnya di dalam video tersebut.
Meskipun memahami yang kandungan sebegitu hanyalah sekadar jenaka, namun dia bimbang perkara itu lama-kelamaan akan dianggap biasa oleh masyarakat.
“Sebenarnya adakah normal isteri-isteri dekat Malaysia ini tak hormat suami? Normal kah orang lelaki ini takut dengan bini?” soalnya.
“Benda itukah yang Rasulullah SAW ajar dekat kita? Saya rasa tidak”.
Oleh itu, dia mengharapkan agar pencipta kandungan media sosial menghentikan kandungan-kandungan yang dianggap bodoh ini.
“Maaflah kalau saya cakap benda itu bodoh, tapi bagi saya memang benda itu bodoh sebab seorang wanita Islam tidak sepatutnya bersikap begitu dan seorang lelaki Islam tidak sepatunya bersikap begitu,” tegasnya lagi.
Pijie yang juga seorang suami itu turut bersyukur perkara sedemikian tidak berlaku di dalam rumah tangganya selain berharap ia juga tidak berlaku di dalam rumah tangga orang lain.
“Tak salah sebenarnya nak berjenaka, tapi janganlah jenaka kita itu sampai menterbalikkan situasi sebenar yang agama kita dah ajar.
Pesannya, seorang lelaki yang bergelar ketua keluarga perlulah memainkan peranannya dengan betul dalam memimpin dan membimbing keluarga.
“Buat isteri kita hormat akan kita, bukannya takut akan kita. Bukannya (juga) kita takut akan dia,” tambahnya.
Sumber: Tiktok @pijjie_fitness2
BACA: Lelaki Islam Dilarang Pakai Warna Merah?