Bagi peminat automotif melakukan modifikasi kepada kenderaan milik mereka memberikan satu kepuasan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Melihatkan hasil yang berjaya dilakukan setelah melakukan perancangan dan ubah suai merupakan satu kejayaan peribadi yang cukup unik.
Jadi usahlah kita persoalkan kenapa sesetengah ‘kaki kereta’ cukup aktif melakukan modifikasi pada kenderaan mereka. Ia merupakan satu minat yang cukup menebal di dalam diri. Bercakap tentang modifikasi, terdapat pelbagai jenis bentuk yang dilakukan oleh peminat kereta.
MASKULIN tertarik dengan modifikasi yang dilakukan oleh seorang ‘tuner’ dari negara India terhadap Toyota Fortuner. Untuk rekod Toyota Fortuner merupakan model kenderaan SUV yang sangat popular di negara tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Antara faktor yang membuatkan ia menjadi cukup popular ialah kualiti ketahanan serta binaan, kemampuan beroperasi di atas pelbagai permukaan dan juga kos servisyang tidak terlalu mahal.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh channel Revokids memaparkan bagaimana sebuah Toyota Fortuner dilengkapi ruang khas mengandungi tandas!
Malah pemerhati industri automotif tempatan mendakwa bahawa ia merupakan Toyota Fortuner pertama yang dilengkapi dengan tandas seperti itu. Kenderaan yang nampak normal di bahagian luar tetapi unik di bahagian dalamannya ini dimodifikasi oleh Ojes Garage.
Keseluruhan bahagian luarannya adalah standard kecuali pada bahagian tayarnya yang ditukar kepada tayar 18 inci BF Goodrich AT.
Bahagian dalaman yang ‘dikorbankan’ untuk diletakkan tandas merupakan salah sebuah kerusi di barisan ketiga penumpang, Malah untuk ke ruangan tandas, kerusi pada bahagian kedua perlu dilipat terlebih dahulu.
Apa yang menarik, instalasinya nampak cukup kemas dan pemasangan yang dilakukan cukup berhati-hati. Memang jelas nampak hasil kerja orang yang cukup profesional dalam bidang modifikasi. Selain itu, tangka air juga disediakan untuk kegunaan dan ia juga diatakan tidak akan tertumpah walaupun berada padalokasi off road.
Buat pengetahuan anda lagi, di negara India model Toyota Fortuner didatangkan dengan enjin petrol dan diesel. Manakala enjinnya diesel 2.8 liter mampu menghasilkan kuasa 202hp dan tork 500Nm manakala versi petrol 2.7 liter mengekstrak kuasa 162hp dan tork 245Nm. Untuk transmisi pula terdapat uda jenis iaitu manual dan automatik. Namun, opsyen sistem pacuan empat roda (4X4) hanya ditawarkan dengan varian diesel.
Menarik bukan modifikasi ini? Kalau pergi trip jauh memang sangat berguna. Cumanya kalau ‘membuang’ itu terpaksalah buka tingkap selepas digunakan. Kasihan pula penumpang lain terpaksa menanggung derita!
Kredit: Cartoq