Pemenang BMW Motorrad GS Challenge Bakal Diterbangkan Ke Albania Sertai FTT Tour Eksklusif

Share

Perlumbaan motosikal lasak merupakan kategori yang mungkin agak baru di negara kita. Namun ia dilihat semakin popular di kalangan penggemar lumba motosikal.

Salah sebuah pengeluar motosikal yang sentiasa menawarkan keterujaan tunggangan lasak, BMW Motorrad dilihat membuka platform tersendiri untuk peserta dalam negara merasainya.

Hasil ilham daripada pertandingan International GS Trophy yang diperkenalkan oleh BMW Motorrad sendiri, cabaran unik bertempoh dua hari ini telah menawarkan para penunggang GS.

Ia merupakan sebuah pengalaman serba eksklusif, yang telah menguji kemahiran menunggang dan melakukan navigasi mereka di atas landasan yang mencabar.

Baru-baru ini, BMW Motorrad Malaysia telah mengumpulkan lebih daripada 150 penunggang jentera kembara serta para peminat BMW Motorrad di acara BMW Motorrad GS Challenge yang pertama di Malaysia.

Selain pertandingan itu sendiri mereka ingin meraikan jiwa sebenar GS dengan pengalaman yang mengujakan di atas landasan luar jalan yang mencabar.

KETERUJAAN PENGEMBARAAN

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, “BMW Motorrad GS Challenge ini mengimbau pertandingan popular kami, International GS Trophy yang mengambil tempat di lokasi-lokasi ekstrem di seluruh dunia”.

“Kami ingin membawakan sekali lagi keterujaan pengembaraan tersebut di Malaysia buat para penunggang GS di sini, susulan acara kelayakan serantau yang kami telah anjurkan pada tahun 2017 untuk memilih wakil-wakil kami bagi pertandingan tersebut.

“Saya percaya bahawa para peserta kita telah menikmati keseronokan, pengembaraan, dan cabaran menunggang tersebut – yang merupakan ramuan bagi kelahiran jentera GS.”

Cabaran ini telah menyaksikan para peserta menjalani ujian menunggang dan menavigasi di samping cabaran individu di atas landasan luar jalan berhalangan.

PERSAINGAN EKSKLUSIF

Beberapa orang finalis terbaik telah terpilih untuk bersaing pada Hari ke-2 bagi merebut peluang eksklusif untuk menyertai “Follow the Trails” (FTT) Tour, sebahagian daripada acara International BMW GS Trophy di Albania yang akan berlangsung pada bulan Oktober ini.

FTT memberi peluang kepada pemenang tersebut untuk menyusuri laluan seperti yang diguna oleh pesaing pertandingan International BMW GS Trophy 2022.

Setelah cabaran ini berlangsung selama dua hari, empat finalis telah muncul sebagai pemenang BMW Motorrad GS Challenge dan akan menuju ke Albania untuk menyertai FTT Tour yang eksklusif! Pemenang-pemenang tersebut ialah Muhairi bin Muhammad, Rosmadi bin Saad, Niranjan a/l Visuvalingam dan Elis Suriani binti Johari.

Tahniah MASKULIN ucapkan kepada pemenang dan selamat membawa nama negara ke pentas dunia!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim