Selepas redanya kehangatan Piala Dunia yang berlangsung di Qatar baru-baru, peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara kini dilanda ‘demam’ yang baharu pula.
Kali ini demam bole sepak yang sifatnya lebih serantau dan tidak kurang kompetitifnya. Kejohanan terunggul di Asia Tenggara iaitu Piala AFF kini sedang berlangsung. Dan semalam pasukan negara tercinta Harimau Malaya beraksi di kandang lawan menentang Vietnam.
Walaupun mempamerkan aksi yang cukup baik namun pasukan kebangsaan tumpas 3-0 di tangan Vietnam. Namun perlawanan semalam tidak sepi dari kontroversi terutamanya selepas pengadil dari Jepun, Ryuji Sato menghadiahkan sepakan penalti dan melayangkan kad merah ke atas Azam Azmi.
Keputusan itu agak kontroversi selepas pemain Vietnam, Doan Van Hau merempuh Azam Azmi dan selepas itu berlaku sedikit ‘sentuhan’ yang diinterpretasikan oleh pengadil sebagai satu kesalahan yang berbentuk kad merah.
Ia sekali gus membingungkan bukan sahaja peminat tetapi juga pengulas sukan kerana keputusan itu dilihat agak ganjil. Bukan itu sahaja, sepanjang perlawanan Doan Van Hau dikenal pasti sebagai seorang pemain yang sangat kasar dan menariknya tidak mendapat hukuman setimpal dari pengadil yang bijaksana dari Jepun tersebut.
Ulasan daripada pemerhati bola sepak profesional menjelaskan sepakan penalti tersebut memang boleh diberikan jika benar-benar ada kekasaran munasabah berlaku walaupun di luar padang kerana perlawanan masih berjalan.
Watak ‘villain’ yang dibawa Doan Van Hau cukup berkesan dalam memberikan tiga mata penuh kepada Vietnam. Disebabkan itulah ramai peminat bola sepak terus melakukan kunjungan ‘mesra’ ke Instagram-nya.
Di ruangan komen terdapat ratusan komen yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka. Bukan sahaja peminat bola sepak dari Malaysia, malah ada juga dari Indonesai turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap semnagat kesukanan pemain ini yang boleh dipersoalkan.
MASKULIN kini mendapati Doan Van Hau telah menutup ruang komen di Instagram kendaliannya. Mungkin sudah tidak tahan dengan kritikan yang dilontarkan kepadanya?
Bukan itu sahaja, peminat bola sepak yang tidak berpuas hati juga turut menurunkan komen di Instagram teman wanitanya yang juga seorang jelitawan peserta pertandingan ratu cantik di negara tersebut.
Diharapkan agar peminat terutamanya dari negara kita tidak berketerlaluan dalam mengkritik pemain. Usah pula ia bertukar menjadi satu buli siber.
Kepada pasukan Harimau Malaysa, teruskan berjuang untuk perlawanan seterusnya. Kita masih ada peluang untuk muncul juara!