MASKULIN tahu ramai di antara anda semua pastinya ada menjadi pengikut setia program aneka ragam Korea, ‘Running Man’. Program yang kini sudah memasuki tahun kelapannya sejak ditayangkan pada 2010 bukan sahaja popular di rantau Asia tetapi di seluruh dunia.
Walaupun popularitinya dikatakan sedikit menurun di Korea namun jumlah penonton global terhadap program yang menampilkan lapan orang ahli tetap ini masih lagi mendapat jumlah rating tinggi.
Di antara ahli Running Man yang popular ialah Kim Jong Kook dan Haha. Selain menjadi penghibur mereka berdua juga merupakan penyanyi yang mempunyai karier tersendiri.
Dan hari ini Macpiepro, penganjur pelbagai program hiburan dan konsert di negara kita telah mengumumkan bahawa mereka berdua bakal melangsungkan konsert duet sulung mereka yang pertama di Malaysia.
Mereka berdua akan muncul dalam konsert yang dikenali sebagai ‘HAHA & KIM JONG KOOK CONCERT IN 2019’ dan ia bakal dilangsungkan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 Mac 2019 bermula pada jam 6 petang.
BACA: Bilionair Jepun Cipta Rekod Retweet Terbanyak Selepas Twarkan Hadiah Wang Di Twitter
Difahamkan penyanyi reggae yang juga rakan baik Haha iaitu Skull turut melakukan kemunculan istimewa di dalam konsert ini sebagai artis jemputan.
Menurut Macpiepro, tiket konsert boleh dibeli secara offline bermula pada 19 hingga 20 Januari 2019 di kedai gaya hidup Mcalls di NU Sentral, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall, Dataran Pahlawan Melaka Mengamall, Paradigm Mall JB dan Pusat Servis Mcalls MMall Pulau Pinang.
Ini merupakan peluang yang tak harus anda lepaskan untuk menyaksikan persembahan eksklusif bro sado Kim Jong Kook yang turut diberi nama panggilan ‘Sparta Kook’ melakukan persembahan nyanyian dan aneka ragam bersama Haha, penyanyi reggae cukup berpegaruh di Korea Selatan.
Siapa tahu Kim Jong Kook akan turut kongsikan tip diet dan senaman yang dilakukannya untuk mendapatkan body tegap seperti sekarang. Tahukah anda bahawa Kim Jong Kook kini sudah berusia 42 tahun!
Memang awet muda dan kagum betul MASKULIN tengok dia jaga bentuk badan dan kesihatannya.