Individu yang menaiki kenderaan persendirian dan tidak memakai pelitup muka, tidak akan dikompaun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Walau bagaimanapun, individu yang berada di tempat awam yang sesak seperti pasar awam, pasar tani, pasar malam dan pasar raya, selain tempat tumpuan pelancong dan panggung wayang diwajibkan memakai pelitup muka.
Sebelum ini tular dalam media sosial mengatakan mereka yang berada di dalam kenderaan persendirian pun dikenakan tindakan, itu tidak betul.
“Seperti yang saya sebutkan kenderaan awam, sangat jelas. Kenderaan persendirian bukan kenderaan awam. Kalau kita bawa kereta dengan keluarga, tak perlulah pakai mask dalam kereta kerana itu merupakan kenderaan persendirian.
“Kalau kita dengan kawan tempat kerja pergi pejabat, kita tahu siapa. Kalau ada kes yang berkaitan dengan COVID-19 positif, kita tahu siapa kerana dia merupakan kawan kita yang bersama dengan kita setiap hari. Penumpang di dalam satu kenderaan. Jika dengan keluarga tidak perlulah diambil tindakan,” ujar Ismail Sabri.
Setelah berbincang dengan polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ujar Ismail Sabri, polis akan membatalkan saman-saman yang dikenakan ke atas mereka yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam kenderaan persendirian.
“Jika mereka sudah pun membayar saman tersebut kepada pihak KKM, mereka boleh menuntut semula wang tersebut kepada KKM,” katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan semalam.
Ismail Sabri yakin dengan pihak polis dari segi menggunakan budi bicara untuk mengeluarkan kompaun berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Begitu juga bagi mereka yang berada di tepi pantai, kalau dia seorang duduk di situ dan tiada kesesakan, tidak perlu disaman.
“Contoh lain, padang bola adalah tempat awam, tetapi berkeluasan besar yang mampu dilakukan penjarakan fizikal, jadi tidak perlu dikenakan kompaun juga,” katanya yang menegaskan, pelitup muka diwajibkan bagi kawasan yang sesak dan penggunaan pengangkutan awam.
Dalam pada itu, beliau berkata, kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah juga tidak diwajibkan memakai pelitup muka kerana dikhuatiri boleh menyebabkan mereka lemas.
Katanya, ibu bapa perlu memainkan lebih bertanggungjawab dengan tidak membawa anak yang masih kecil di tempat awam yang sesak.
Sumber: Harian Metro
Pelitup muka dah nak habis? Dapatkan pelbagai jenis dan harga di SINI