Pelari Ultra Maraton, Jeff Lau Kongsi Pengalaman Berlari Sejauh 500km Dalam Cuaca Beku!

Share

Buat anda yang biasa melakukan larian sekurang-kurangnya pada jarak 10km pasti tahu betapa sukarnya untuk menghabiskan jarak tersebut tanpa stamina yang baik.

Melakukan larian maraton pula memerlukan bukan sahaja latihan yang mantap tetapi kemampuan mental yang luar biasa. Jadi bayangkan kesukaran yang dilalui oleh seorang atlet hebat ini yang berjaya melakukan larian ultra maraton sejauh 500km.

Lebih mengagumkan lariaN tersebut dilakukan dalam kondisi cuaca sangat sejuk dan hampir beku. Itulah yang telah direalisasikan oleh pelari ultra maraton dari negara kita, Jeff Lau.

Foto: Shadow Kuo Photography

Jeff Lau yang juga merupakan duta jenama Under Armour Malaysia turut membawa semangat jenama tersebut dengan ‘The Only Way Through’. Baru-baru ini, atlet luar biasa ibni telah melengkapkan larian pada suhu sub-zero di Montane Lapland Artic Ultra di Sweden.

Misi larian tersebut menjadi lebih bermakna dengan Jeff Lau turut tampil meningkatkan kutipan derma buat Malaysia Paediatric AIDS Fund.

MASKULIN cukup bertuah kerana diberi kesempatan untuk menemu bual Jeff Lau secara eksklusif. Jika anda ingin tahu apakah cabaran serta belajar sedikit sebanyak apa yang telah dilaluinya sepanjang larian itu ikuti temu bual di bawah:

Pertama sekali tahniah di atas kejayaan melengkapkan larian Montane Lapland Artic Ultra. Sepanjang 10 hari larian 500km tersebut, selain cuaca ekstrem apakah halangan terbesar anda hadapi?

Selain cuaca ekstrem, pola dan sistem waktu tidur saya juga turut menjadi cabaran utama. Sepanjang larian saya terpaksa tidur di dalam beg tidur sepanjang jalan. Namun ada sekali saya telah tidur sedikit lama dan menjejaskan beberapa jam tempoh larian. Jadi selepas itu saya harus berlari lebih pantas untuk mengejar ‘cut-off time’.

Disebabkan kepenatan juga saya telah mengambil laluan salah pada checkpoint 185km. Ia menyebabkan saya kerugian masa selama 3 jam untuk kembali semula ke laluan sebenar.

Foto: Shadow Kuo Photography

Berlari 500km dalam masa 10 hari ukanlah kerja mudah. Bagaimana anda berjaya menamatkannya hingga ke garisan penamat?

Apa yang paling penting bagi saya ialah keyakinan diri dan tetapkan fikiran dengan positif. Kelengkapan peralatan larian dan kecergasan membantu saya mendapatkan keyakinan yang baik. Mindset itu adalah faktor paling penting.

Foto: Shadow Kuo Photography

Boleh kongsi bagaimana anda menyiapkan diri untuk menghadapai larian ini?

Sebelum menyertainya saya telah mempersiapkan diri selama setahun yang lalu. Persediaan sebelum larian pula saya lakukan dengan memilih pakaian dan peralatan sesuai. Selain itu saya mengkaji struktur larian dan merancang strategi dengan baik.

Saya bertuah kerana Under Armour Malaysia banyak membantu dari segi tersebut serta memberikan sokongan tidak berbelah bahagi. Selain itu mereka turut menyediakan saya dengan mengikuti program latihan TRAINE, sebuah institusi prestasi di Hartamas, Kuala Lumpur. Setiap pelari ultra-maraton perlu mempunyai struktur larian dengan strategi tersendiri.

Adakah anda mengikuti program diet tertentu?

Saya tidak mengikuti mana-mana jenis diet tertentu. Namun sebelum larian saya akan makan dengan lebih banyak untuk mempersiapkan diri agar dapat adaptasikan diri dengan cuaca sejuk. Di bawah suhu buku badan kita akan membakar lebih banyak kalori. Jadi untuk tenaga mencukup saya perlu makan dengan lebih banyak.

Secara mentalnya orang kebanyakan pasti mustahil melakukan larian seperti anda lakukan. Bagi anda pula dari mana dapat kekuatan tersebut untuk habiskan larian?

Sejak dulu saya sudah tanam perkara ini dalam minda. Saya percaya melakukan larian untuk hasrat yang baik. Benar larian sepanjang 10 hari tersebut cukup menyeksakan tapi saya tanam dalam minda sepanjang 10 hari itu juga saya dapat bantu mereka yang dalam kesusahan.

Apakah jenis kelengkapan yang anda perlukan untuk maksimakan prestasi ketika dalam larian, sebagai contoh jenis kasut yang dipakai?

Pakaian merupakan aspek paling penting dalam melakukan larian seperti ini. Saya bertuah kerana mendapat sokongan Under Armour yang membekalkan segala kelengkapan. Di antaranya ialah UA Men’s Storm Liner, UA CGI Shield Jacket, UA CGI Shield Hooded, UA Fly Fast ColdGear, UA CGI Down Blocked Jacket, UA Cold Weather Crew, UA Storm Beanie, UA Storm Fleece Glove, UA CGI Down Jacket dan UA CGI Utility Cargo. Segala kelengkapan ini membantu saya memanaskan badan dengan baik.

Foto: Shadow Kuo Photography

Siapakah inspirasi terbesar anda?

Suatu ketika dahulu saya bertemu dengan seorang peserta di Marathon des Sables, larian sejauh 250km di Gurun Sahara. Seorang wanita berkulit putih berusia 45 tahun turut menyertai perlumbaan tersebut.

Sepanjang larian saya banyak mengeluh kerana larian tersebut memang sangat sukar. Malah ada satu ketika saya hampir berputus asa dan berhenti di bawah suhu 50 darjah Cecius tersebut. Ketika di tengah-tengah perlumbaan saya bertemu dengannya dan saya perhatikan ada seseorang sedang memimpin tangannya.

Saya tertanya-tanya kenapa dan terus bertanya. Rupa-rupanya dia seorang wanita yang buta. Sepanjang larian dia sentiasa tersenyum dan jauh sekali untuk mengeluh. Dari situ saya terinspirasi di atas sikap positifnya yang saya lihat cukup mengagumkan. Setiap kali berdepan kesukaran pasti saya akan teringatkannya.

Boleh kongsi sedikit tentang penglibatan anda bersama NGO seperti Malaysia Pediatrics AIDS Fund?

Sebagai ikon Red Ribbon Youth Club yang dilantik Kementerian Kesihatan saya rasa terpanggil untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan. Saya sudah terlibat dalam aktiviti pengumpulan dana untuk MAF sejak tahun 2014. Manakala untuk larian ini pula saya memilih program untuk Pediatrics Aids yang merupakan badan amal memberikan bantuan kepada kanak-kanak yang hidup atau terkesan dengan HIV.

Saya harap dengan dukungan ini lebih ramai orang akan sedar akan kuwujudan Pediatrics AIDS Fund dan sekali gus menghulurkan lebih banyak bantuan. Sesiapa yang ingin turut sama membantu boleh mengikuti kempen ini menerusi articultra.maf.org.my.

Apakah perkara pertama yang bermain di minda selepas tiba di garisan penamat?

Saya berharap suatu hari nanti saya berpeluang untuk berkongsi pengalaman lebih mendalam kepada penyokong dan rakyat Malaysia amnya.

—————————————————

Syabas dan tahniah MASKULIN ucapkan kepada Jeff Lau di atas kejayaannya menamatkan larian yang cukup mencabar tersebut. Semoga lebih ramai yang akan mengikuti jejak langkah beliau dan mengambil inspirasi di atas kejayaan ini.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim