Pelajar Tetap Utama Walau Berkonten – Sir Asai

Share

Platform video terkenal Tiktok telah menjadi platform bagi pencipta kandungan untuk berkarya dan menyumbang manfaat kepada masyarakat. Maka, ramai pencipta kandungan berjaya menempa nama menjadi berpengaruh dalam bidang masing-masing melaluinya.

Tidak terhad kepada fesyen, kecergasan dan masakan sahaja, bidang pendidikan juga tidak ketinggalan apabila ramai guru turut terjun ke dalam arena penciptaan kandungan di media sosial.

Salah seorang daripadanya ialah Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Sir Asai yang aktif membuat video mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajarnya.

Walaupun sering menampilkan pelajar-pelajarnya di dalam video yang dihasilkan, Ahmad mengakui yang sebagai seorang guru beliau perlu mengutamakan privasi pelajar-pelajarnya.

JANGAN PAKSA, RAKAM CURI-CURI

“Kita tak boleh paksa, tak boleh buat candid atau ambil gambar dan video curi-curi,” katanya kepada Maskulin ketika ditemui di sidang media Tiktok Awards 2023 pada Selasa lalu.

“Kadang-kadang itu tak perlu pun guna pelajar, just muka sendiri… Whatever it is, gunakan daya kreativiti masing-masing asalkan tidak menganggu core business kita sebagai seorang guru”.

Menganggap pelajar ibarat anak sendiri, beliau percaya yang menyediakan suasana belajar yang aman juga merupakan salah satu tanggungjawab terpenting sebagai seorang guru.

BANTU ANAK KELANTAN KUASAI BAHASA INGGERIS

Mengulas lanjut, Ahmad berkata penglibatanya di platform Tiktok itu langsung tidak pernah mendapat halangan dari mana-mana pihak, bahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut menyokong usahanya.

Hal ini kerana, hasil karyanya memberi impak yang ketara kepada pendidikan bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar di Kelantan yang sering menghadapi kesukaran menguasai mata pelajaran itu

So far saya tiada masalah sebab saya dapat sokongan daripada pengetua saya, cikgu sekolah saya, even JPN dan PPD pun menyokong di belakang saya… Apa yang saya buat ini adalah satu inovasi untuk pelajar-pelajar di Kelantan untuk terus minat belajar bahasa Inggeris,” katanya.

TERCALON TIKTOK AWARDS 2023

Dengan lebih 1.2 juta pengikut di Tiktok, tidak hairanlah Ahmad tercalon bagi anugerah kategori “Best Of Education” di Tiktok Awards 2023 di samping pencipta kandungan berpengaruh lain yang juga di bidang pendidikan.

Temasya anugerah berprestij meraikan pencipta kandungan atas talian yang julung kali diadakan di Malaysia itu juga bakal disiarkan secara langsung di media arus perdana pada 27 Ogos ini, iaitu di TV3 bagi acara utama dan di TV9 bagi acara karpet merah.

Published by
Ruszaini Ruslan