Ramai yang stres bila berdepan dengan orang yang liat bayar hutang. Masa nak pinjam duit, punyalah berjanji bulan dan bintang. Tapi bila sampai hari nak membayarnya, batang hidung pun tak nampak.
Memang tak dinafikan bukan mudah nak minta balik duit yang telah anda pinjamkan pada orang. Kalau dapat orang yang reti bahasa, memang senang. Tapi kalau dapat orang yang liat bayar hutang, memang sampai ke sudahlah anda tak dapat duit yang anda pinjamkan itu.
Sebelum anda pinjamkan duit kepada sesiapa, pastikan ada surat hitam putih sebagai bukti jika orang tersebut gagal melangsaikan hutang anda.
Cara nak membuat surat perjanjian hutang tersebut diajar oleh Peguam Nor Zabetha yang berkongsi di laman Facebooknya. Ikuti perkongsiannya.
Kalau pinjamkan pada kawan, kekasih, adik beradik, sepupu sepapat, perlu ada bukti hitam putih. Nanti nak tuntut balik tak boleh maka meleburlah hutang RM5,000 atau RM10,000 atau RM15,000. Apa pun tak dapat!
Jadi apa butiran yang perlu ada dalam perjanjian hutang yang akan diambil kira di mahkamah? Sebab kalau tak kena tempat, perjanjian anda mungkin akan jadi tak terpakai.
Ilmu perlu kongsi. Mari saya sharekan resepi nak tulis perjanjian hutang yang boleh dijadikan bukti di Mahkamah:-
1. Letak tajuk “Pinjaman Persahabatan” ini maksud pinjaman tanpa faedah.
2. Perlu ada butir-butir nama PENUH, nombor kad pengenalan dan alamat TERKINI Pemberi Pinjam dan Peminjam.
Ini bertujuan perjelaskan identiti untuk tujuan menuntut di mahkamah nanti dan senang hendak ambil tindakan. Dapatkan salinan kad pengenalan dan pulangkan dengan perkataan pinjaman.
2. Nyatakan jumlah pinjaman.
Contoh:
Dengan ini saya *nama pemberi pinjam wang* Sudin telah memberikan pinjaman sebanyak RM**** kepada Ajis *nama peminjam*.
3. Cara bayaran bagaimana?
Contoh dalam tempoh berapa bulan? Tahun? Sebulan berapa? Berapa lama?
JANGAN! JANGAN kenakan faedah atau bunga atas pinjaman! Kerana anda bukan pemberi pinjam wang berlesen! Kalau anda letak juga jumlah faedah dalam perjanjian, perjanjian and mungkin jadi tak laku ATAU silap-silap anda kena denda DAN PENJARA dibawah Akta Pemberi Pinjam Wang dengan faedah tanpa lesen. Minimum denda RM 250,000 dan maksimum RM 1,000,000. Banyak tu!
4. Masukkan terma pengingkaran.
Contoh: Sekiranya pemimjam gagal bayar kes akan dirujuk ke mahkamah. Mahkamah mana? Cari yang berdekatan dengan tempat tinggal anda supaya jimat kos perjalanan nanti.
5. Masukkan syarat bahawa surat menyurat untuk menuntut dari peguam dan dokumen-dokumen mahkamah akan dihantar ke alamat peminjam seperti dalam perjanjian akan dianggap serahan yang sempurna. Jadi tidak perlu bayar kos mengiklankan di surat khabar.
6. Masukkan terma perjanjian turut mengikat waris dalam kes kematian.
Takdir tuhan siapa tahu kalau peminjam meninggal dunia, bagimana? Sekurang-kurangnya boleh tuntut dari aset si mati.
TETAPI UNTUK PINJAMAN yang bernilai kecil sesuai untuk rangka sendiri. TETAPI jika nilai puluhan atau ratusan ribu ringgit, seelok-eloknya lantik peguam. Bukan apa, kebanyakan kes hutang nilai tinggi ini, bila dibawa ke mahkamah, si peminjam pandai pusing macam-macam alasan dia cari hendak elak bayar hutang. Kemudian dia cabar perjanjian tidak sahlah. Kononnnya dia ditekan suruh tandatanganlah. Kononnya nilai dia terima tak sama dengan perjanjian.
Kalau ada peguam, ada terma-terma khas dan lebih terperinci, malah peguam boleh jadi saksi. Lantik peguam, terutama kes-kes terdapat cagaran hutang.
Sila share, untuk pengetahuan bersama supaya tidak menjadi PEMBERI PINJAM YANG TERANIAYA.