Pegawai Bank Ini Berjaya Hilang 30kg Dengan Diet Kurangkan Karbo & Ketepikan Gula Sepenuhnya

Share

Siapa yang pernah lalui sahaja akan dapat rasa. Itulah yang diluahkan oleh seorang pembaca kami menerusi perkongsian beliau bagaimana dia berjaya menurunkan berat badan hampir 30 kilogram!

Perubahan berat badannya yang sangat ketara tidak datang dengan mudah. Malah bagi jejaka bernama Nor Hasnizam Bin Abdul Malik atau dikenali dengan nama Ejump, perubahan yang dilaluinya disertai dengan dedikasi, kerja keras, disiplin tinggi serta sokongan tidak terhingga daripada keluarga tersayang.

Selain cabaran terpaksa menahan segala macam nafsu makan, Ejump turut berdepan dengan ejekan serta kecaman dari rakan-rakan yang pada mulanya tidak percaya dengan usaha yang dilakukan untuk menurunkan berat badan. Bagi mereka apa yang dilakukan olehnya hanyalah sia-sia. Namun kini segalanya telah membuahkan hasil yang cukup hebat buat Ejump.

Ikuti temu bual MASKULIN bersamanya untuk inspirasi kita bersama.

Apakah tabiat makan sebelum ini hingga berat naik?

Sebelum ini saya banyak makan terutama pada waktu malam. Sampai perut sudah kenyang pun saya masih nak makan apatah lagi bila nampak sesuatu yang menyelerakan. Sampai kadang-kadang makan terlalu banyak hingga rasa sukar nak bernafas. Jadi bila itu berlaku saya terpaksa jolok mulut untuk muntahkan semula.

Saya juga sangat suka minum minuman berkarbonat sampai ia harus jadi pelengkap bila saya makan. Air kosong usah ceritalah memang saya tolak tepi terus. Apatah lagi bersenam memang jauh sekali.

Berat dahulu

Makanan atau minuman kurang menyihatkan paling digemari dahulu?

Minuman manis terutamanya air Coca Cola. Kalau tak minum dalam sehari rasanya macam tak boleh hidup.

Selain mahu buktikan kepada rakan-rakan yang mengecam, apakah lagi inspirasi lain yang menyebabkan anda buat keputusan untuk anda berubah?

Sejujurnya selain untuk kesihatan diri dan mengubah fizikal saya kepada keadaan asal, saya melakukan diet ini kerana ingin menimang cahaya mata. Sebelum melakukannya saya ada terbaca bahawa diet Atkins yang saya amalkan boleh meninggikan kebarangkalian mendapat zuriat.

Tapi saya percaya itu semua rezeki dan ketentuan dari Allah S.W.T. Alhamdullah selepas saya amalkan hidup sihat dan selepas 5 tahun kahwin, saya kini dikurniakan seorang cahaya mata.

Tak jaga makan dan kurang bersenam membuatkan beratnya naik mendadak.

Siapakah inspirasi anda yang pernah lakukan perkara sama?

Saya tidak anda dapat inpirasi daripada sesiapa sebab apa yang saya lakukan ini adalah untuk diri sendiri dan isteri tercinta. Insan istimewa dalam hidup saya inilah yang mula-mula memperkenalkan diet ini kepada saya. Dia banyak memberi dorongan yang luar biasa. Kadang-kadang kami bersaing sesama sendiri untuk capai sasaran berat badan yang diingini.

Alhamdulillah kami berdua berjaya mengubah gaya hidup lebih sihat dan kini dikurniakan cahaya mata.

Ejump yang sekarang!

Boleh kongsi rutin diet harian dan juga senaman sekarang?

Sepanjang melakukan diet dan senaman saya amalkan untuk minum air kosong kira-kira 1.5 hingga 2 liter sehari. Saya juga kurangkan makanan yang mempunyai karbohidrat tinggi dan tidak langsung menyentuh makanan atau minuman bergula.

Paling penting sarapan jangan skip. Itu adalah makanan yang sangat penting dalam misi untuk diet. Bagi senaman pula saya melakukan setiap hari dengan rutin seprti sit ups, crunches, reverse crunches, bicycle crunches, flutter kicks dan juga plank.

Lihatlah perubahan sebelum dan selepas!

Berapakah berat paling tinggi dicatatkan dan berapa berat badan sekarang?

Pada tahap paling teruk dahulu berat badan saya pernah mencecah sehingga 104 kilogram. Dengan usaha keras saya berjaya menurunkan berat badan sehingga 75 kilogram.

Bagaimana kekalkan berat badan sekarang?

Untuk terus maintain berat sekarang saya sentiasa kawal pemakanan, melakukan senaman secara rutin dan tidur yang cukup.

Pesanan buat pembaca MASKULIN di luar sana.

Saya berkongsi kisah saya ini untuk menasihati orang-orang diluar sana agar jangan terlalu memandang rendah terhadap sesiapa sahaja yan cuba melakukan sesuatu untuk kebaikan diri mereka sendiri. Kadang-kadang apabila selalu terima kecaman dan gelak tawa atau dijadikan gurauan membuatkan seseorang itu berputus asa ditengah jalan.

Kepada rakan-rakan yang mempunyai susuk tubuh yang besar, saya ingin katakan bahawa percaya dengan apa yang kita lakukan. InsyaAllah berkat usaha dan doa kita akan mendapatkan hasil terbaik dan memberi kepuasan kepada diri kita sendiri bukannya orang lain.

Semoga perkongsian daripada Ejump ini memberikan inspirasi kepada anda!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim