Trik Penggayaan & Cara Berfesyen Lelaki Kurus Agar Nampak Lebih Berisi

Share

Mungkin anda fikir, lelaki kurus mudah untuk berfesyen berbanding lelaki berbadan besar. Sebenarnya anda silap kerana lelaki bertubuh begini juga berdepan dengan masalah dalam stail fesyen mereka.

Ini kerana, jika anda tersilap menggayakan pakaian boleh menampakkan lelaki kurus bertambah kurus dan sekeping.

Untuk mengelakkan lelaki kurus nampak melayang-layang, pastikan anda mempraktikkan panduan penggayaan ini agar penampilan anda nampak lebih smart.

1. ELAK GUNA BAJU KOLAR V

Jangan menggunakan baju berkolar V kerana ia akan menampakkan tulang anda lebih menonjol. Pilihlah pakaian berkolar tinggi atau turtle neck kerana ia akan menutupi tulang di sekitar leher anda.

2. GUNA BAJU BERLAPIS

Pakailah baju berlapis atau kombinasikan dengan beberapa baju untuk memberi ilusi tubuh badan anda nampak lebih berisi. Contohnya anda memakai t-shirt, dilapisi dengan jaket varsity atau kemeja yang besar sedikit di bahagian luar mengikut keselesaan anda. Namun pastikan anda memakai baju berlapis sesuai dengan keadaan cuaca. Elak memakai baju berlapis sekiranya cuaca sedang panas terik.

3. PAKAIAN ‘SLIM FIT’ TERBAIK

Untuk anda yang bertubuh kurus, sesuai memakai pakaian berpotongan slim fit kerana ia boleh menampakkan susuk tubuh anda lebih keras dan bahu lebih lebar. Tapi ingat! Elak memakai pakaian skinny fit kerana ia jelas menampakkan tubuh anda yang semakin kurus.

4. ELAK MEMAKAI PAKAIAN YANG LONGGAR

Pakaian longgar sememangnya membuatkan anda rasa lebih selesa namun ia tidak sesuai dipakai oleh orang bertubuh kurus kerana ia akan menampakkan anda bertambah kurus. Mungkin persepsi orang mengatakan bahawa pakaian longgar dapat menyorokkan susuk tubuh anda yang kurus tapi sebenarnya tanggapan itu salah.

5. GUNA AKSESORI YANG SESUAI

Pilihlah aksesori berukuran sederhana sama ada tidak terlalu besar atau tidak terlalu kecil untuk tubuh kurus. Aksesori seperti tali pinggang atau jam tangan yang besar sepatutnya anda elakkan kerana anda gaya anda akan kelihatan tidak kena.

6. ELAK MENGGUNAKAN CORAK MENEGAK

Memakai baju bercorak menegak adalah teknik untuk menampakkan seseorang lebih kurus. Memandangkan anda sudah kurus jadi elakkan corak menegak pada gaya fesyen anda. Seeloknya pakailah baju yang bercorak melintang bagi memberi ilusi tubuh anda lebih berisi.

7. PILIH PAKAIAN BERWARNA LEBIH CERAH

Pakaian berwarna cerah menampakkan orang bertubuh kurus lebih berisi. Kalau boleh, kurangkan pemakaian berwarna gelap seperti hitam atau coklat. Namun jika anda peminat warna-warna gelap, pakailah warna kelabu ataupun coklat terang untuk penggayaan anda.

Follow Instagram MASKULIN

Published by
Team Maskulin