Buat peminat peranti pintar jenama Samsung pastinya sudah tidak asing lagi dengan edisi Fan Edition atau FE yang diperkenalkan pada harga lebih kompetitif dan mampu milik.
Untuk pengetahuan anda yang mungkin tidak biasa, peranti pintar Samsung Fan Edition (FE) biasanya menawarkan beberapa ciri utama dari versi biasa tetapi menurunkan hampir semua aspek lain agar harganya jauh lebih murah.
Terbaru, Samsung Galaxy Tab S9 FE diperkenalkan pada harga bermula dari RM2099. Samsung Galaxy Tab S9 FE yang dilancarkan baru-baru ini hadir dengan paparan skrin sesentuh 10.9-inci LCD display, RAM 6GB /8GB, kerangka yang kalis air dan habuk IP68.
Pertama kali memegang kotak Samsung Galaxy Tab S9 FE, perkara pertama bermain di fikiran ialah betapa ringkas dan nipis. Ia adalah sebahagian daripada pendekatan kelestarian alam yang diperkasakan oleh Samsung pada masa kini.
Di dalamnya terdapat Galaxy Tab S9 FE itu sendiri, S Pen dan juga kabel USB-C. Seperti dijangka tiada palam pengecas yang disediakan – satu fenomena yang kini sudah dianggap normal di kalangan pengeluar dan juga peminat peranti pintar.
Hadir dengan ketebalan 6.5mm, tab terbaru Samsung yang dilancarkan ini hanyalah kira-kira 0.2mm lebih tebal berbanding dengan Samsung Galaxy Tab S7 FE yang hadir dengan ketebalan 6.3mm.
Manakala pada bahagian bezel skrin juga nampak lebih nipis seperti versi sebelumnya namun kamera hadapan terletak di bahagian atas dilengkapi dengan sensor lebar 8MP yang cukup memadai untuk fungsi foto dan video yang baik.
Dari segi rekaan luarannya, Samsung Galaxy Tab S9 FE tampil dengan badan aluminium yang cukup sedap dipegang. Rekaan dengan sudut lebih bulat juga membuatkan memegangnya buat pertama kali tidak berasa kekok dan sedap digenggam.
Ketahanan tablet ini terhadap air dan debu IP68 juga satu ciri yang sangat dialu-alukan. Ia salah satu penambah baikan yang baik terutamanya apabila memikirkan penggunaan tablet ini sentiasa berada di atas meja dan juga digunakan oleh kanak-kanak.
Salah satu ciri yang cukup baik pada Galaxy Tab S9 FE ini ialah pengimbas cap jari yang boleh berfungsi dengan baik sama ada dalam mod lanskap dan potret. Samsung juga telah memadankan warna S Pen dengan Galaxy Tab S9 FE. Satu sentuhan yang tidaklah terlalu ketara tetapi boleh memberikan satu kepuasan kepada pengguna.
S Pen ini dapat dilekatkan secara magnetik di bahagian atas atau belakang tablet, dan tidak memerlukan pengecasan untuk digunakan serta menyokong penolakan telapak tangan tetapi tidak sensitif terhadap tekanan, yang hanya ideal untuk mencoret-coret dan melukis asas.
Untuk melakukan goresan dan bayangan yang lebih tepat, Samsung juga menjual S Pen Edisi Pencipta yang juga akan berfungsi pada Galaxy Tab S9 FE. Galaxy Tab S9 FE dikuasakan cipset Exynos 1380 di mana ia merupakan cipset sama digunakan di dalam Galaxy A54.
Nantikan review lengkap dari MASKULIN tidak lama lagi!