Inspirasi

Olimpik 2024 Paris Aksi Terakhir Azizulhasni Awang, Tapi Harapannya Masih Membara

Share

Insiden yang berlaku terhadap legenda sukan lumba basikal tanah air, Datuk Azizulhasni Awang di Sukan Olimpik 2024 Paris baru-baru cukup mengejutkan kita semua.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Selepas melakukan segala persiapan namun insiden yang menyebabkan beliau telah ‘disqualified’ pada acara keirin peringkat suku akhir pasti menjadi titik hitam dalam kariernya.

Apatah lagi setelah Azizul berkobar-kobar ingin menghadiahkan pingat emas sulung buat negara tercinta. Selepas mendapat pingat gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, inilah medan yang dianggap terbaik buatnya. Akan tetapi takdir telah menentukan segalanya. Mungkin tiada rezeki.

Rata-rata rakyat Malaysia terutamanya warganet dilihat terus menaruh harapan agar Azizul meneruskan kariernya peringkat antarabangsa sehingga ke Sukan Olimpik 2028 Los Angeles. Perlu kita ingat pada tahun tersebut Azizul sudah pun menginjak ke usia 40 tahun.

Namun bagi bekas juara dunia itu dia percaya dengan kemampuannya untuk mengekalkan tahap kecergasan kerana yakin dengan caranya menjaga kondisi fizikal.

SAYA SUDAH BERJANJI

Walau bagaimanapun jelas Azizul dia telah berjanji dengan keluarganya bahawa Olimpik 2024 Paris menjadi medan perlumbaan kompetitif terakhirnya.

Sekiranya diberi keizinan keluarga, Azizul memberi bayangan dia akan mungkin membuat pertimbangan untuk aktif sehingga Olimpik 2028 Los Angeles.

“Secara jujur, sekiranya saya nak pergi ke LA2028, sudah tentu boleh. Walaupun ketika itu berusia 40 tahun kerana saya menjaga badan dengan cukup baik. Saya tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sudah tentu perjalanan tersebut sukar tetapi saya boleh buat ia berlaku tetapi selepas pembedahan itu, emak, isteri dan anak-anak memaksa saya untuk bersara. Dan menyebabkan saya berjanji Paris adalah yang terakhir.

“Kalau mereka izinkan (ke LA2028), tidak tahulah… tetapi buat masa ini saya rasa seperti sudah terlalu lama dalam (sukan) ini, berlumba, bebanan dan tekanan,” jelasnya dalam satu temu bual bersama Kosmo.

BACA: Tip Beli Basikal Baru, Perlu Ikut Ketinggian Diri Atau Berat Badan

Tambahnya lagi, sudah tiba masanya untuk saya membantu generasi seterusnya tidak kiralah dalam sukan apa sekalipun.

“Walaupun masih ada ‘api’ untuk teruskan tetapi ada satu masa, anda perlu berundur,” jelasnya lagi.

Azizulhasni bukan sahaja seorang atlet, tetapi juga seorang inspirasi kepada generasi muda.

Kejayaan dan dedikasi beliau dalam sukan berbasikal telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia, menjadikannya seorang ikon sukan yang dihormati dan dikagumi di seluruh negara.

Selamat maju jaya buat Datuk Azizulhasni Awang dalam apa juga bidang yang akan diceburinya selepas bersara.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Sertai kejohanan futsal MASKULIN Beat Boot Battle yang bakal berlangsung pada 25 Ogos 2024. Hadiah utama RM2,000 dan tempat kedua RM1,500. Terhad untuk 8 pasukan sahaja! Daftar di sini—> https://kliik.je/product-details/106?title=beat-boot-battle—kejohanan-futsal-maskulin

Sumber: Kosmo

Published by
Farizul Izwany Ibrahim