Anggota tubuh badan setiap manusia memainkan peranan penting dalam setiap kerjaya yang dilakukan. Kebiasaannya, masyarakat hanya akan mengeluh apabila sakit pinggang ataupun sengal pada kaki. Perihal ini selalu kita dengar kepada mereka yang bekerja sebagai buruh kasar. Berbeza dengan mereka yang bersandar di hadapan skrin komputer, mereka ini lebih kepada sakit belakang, namun untuk pengetahuan anda jika seseorang cenderung kepada terlalu lama menggunakan tetikus tanpa rehat, pergelangan tangan seseorang itu akan berasa sakit sehingga boleh menyebabkan lumpuh tangan. Ini dinamakan Carpal Tunnel Syndrome.
Mungkin ada kalangan anda yang sudah sinonim dengan penyakit ini, namun ada sesetengah daripadanya masih kurang faham dengan penyakit yang seringkali menyerang mereka yang gemar menggunakan tetikus sebagai objek menjalankan tugas di pejabat.
Pihak Maskulin sempat bertanyakan perihal ini kepada Mohd Sharizal Aziz Fisioterapi U32, Hospital Rehabilitasi Cheras tentang penyakit ini. Menurut beliau Carpal Tunnel Syndrome atau nama singkatannya CTS merujuk kepada kondisi dimana saraf median di pergelangan tangan terhimpit akibat situasi tertentu yang menyebabkan seseorang itu mengalami sakit, kebas atau lemah di tangan terutama bahagian jari. Ia boleh mengakibatkan seseorang yang menghidapinya lemah genggaman tangan sehingga ke keadaan yang lebih kronik dimana pesakit hilang keupayaan memegang sesuatu akibat kurang deria rasa selain otot yang terlibat menjadi terlalu lemah.
Antara faktor yang menyebabkan terjadinya CTS ini adalah disebabkan oleh tekanan pada saraf median yang berpunca oleh pembengkakkan atau penyempitan terowong “carpal tunnel”. Disebabkan ruangnya yang agak sempit, sebarang pembengkakkan atau penyempitan akan memberi tekanan pada saraf median. Tiada punca khusus yang dapat dikenalpasti, walau bagaimanapun ia berkait rapat dengan aktiviti seharian mahupun pekerjaan yang melibatkan penggunaan dan pergerakkan pergelangan tangan yang berulang-ulang.
Jangan pandang mudah dengan penyakit ini kerana antara mereka yang berpotensi untuk menghidap penyakit ini adalah seorang penjawat Awam mahupun sektor Swasta yang memerlukan pergerakan pergelangan tangan berulang kali seperti operator mesin, juruwang, mekanik, tukang cat, mahupun mereka yang seringkali mengendalikan peralatan atau mesin yang menyebabkan gegaran pada pergelangan tangan. Jangan ingat mereka yang mempunyai masalah lemak berlebihan juga tidak tergolong dalam penyakit ini. Anda yang mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti, Hupothyroudism, Rheumatoid Athritis dan Diabetis juga mendorong kepada Carpal Tunnel Syndrome. Dalam pada masa yang sama, Sharizal juga memberi penekanan terhadap ibu mengandung, di mana ia senang akan terjadi cecair (oedema) berlebihan pada tisu disekeliling pergelangan tangan mereka. Kecederaan Trauma yang mendorong kepada hentakan pada pergelangan tangan juga berisiko untuk mendapat penyakit ini, namun tipis.
Temu bual tersebut dilanjutkan lagi dengan persoalan bagaimana seseorang itu cenderung ke CTS. Ini kerana, kebanyakan kita tidak mengetahui bagaimana seseorang mengalami CTS. Lelaki yang berusia 34 tahun ini mejelaskan bahawa seorang pesakit jenis ini kerap mengalami kebas dan “semut-semut’ pada ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah. Pada peringkat awal, mereka akan merasakan jari mereka seolah kebas dan tidak boleh digerakkan terutamanya pada waktu malam dan awal pagi. Sekiranya berterusan dan tidak dirawat, simptom kebas berpanjangan ini akan menjadi sakit dan menyebabkan otot menjadi lemah sekaligus menyebabkan mereka tidak mampu menggenggam atau memegang sesuatu benda. Sakit berterusan ini mungkin akan melarat hingga ke bahu dan mengganggu aktiviti harian mereka yang mengalaminya.
Setiap penyakit haruslah ada ubatnya, dalam dunia serba canggih ini, terdapat pelbagai rawatan traditional mahupun moden jika seseorang itu mangsa CTS. Kebanyakan pihak, pasti akan menyatakan bahawa pembedahan merupakan jalan paling bagus untuk memulihkan penyakit ini.
Dalam tidak sedar,penyakit ini semakin kerap terjadi terutamanya kepada mereka yang obses pada kerjaya. Secara umumnya, masyarakat masih kurang peka akan risiko CTS sehinggalah mereka mengalaminya sendiri dan dirujuk ke klinik atau hospital. Kebanyakan klinik-klinik kerajaan terutama sekali di Unit Fisioterapi ada menyediakan risalah-risalah berkaitan masalah CTS untuk tujuan rujukan umum. Oleh sebab penyakit ini biasanya terjadi bagi mereka yang bekerja di pejabat, pihak majikan layak mendapatkan nasihat dari Agensi Kesihatan Pekerjaan sekiranya skop pekerjaan ditawarkan mendedahkan pekerja kepada risiko CTS.
Dapatkan Maskulin Edisi Julai-Ogos di pasaran untuk mengetahui tentang penyakit ini dengan lebih lanjut.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI