Untuk mencapai tahap mengenggam PhD bukanlah mudah. Namun, tiada apa yang mustahil jika ketekunan dan usaha mengiringi setiap langkah. Inilah yang sesuai penulis gambarkan mengenai kejayaan Dr. Mohamad Hafifi Jamri yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada usia 30 tahun.
Bukanlah pelajar ‘straight A’ dari peringkat awal pendidikan, beliau hanya memperoleh 4A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walau bagaimanapun, beliau sentiasa berusaha untuk memajukan diri dari semasa ke semasa menerusi penglibatannya dalam aktiviti akademik dan kokurikulum seperti program kepimpinan dan peningkatan diri ketika di bangku persekolahan dan universiti.
Sebagai anak tunggal, Dr. Mohamad Hafifi menjadikan misi untuk membantu kedua orang tuanya sebagai satu gol di dalam kehidupan. Bukan berasal dari keluarga yang senang, ibunya bekerja sebagai operator pengeluaran kilang manakala ayahnya pula hanyalah pemandu bas henti-henti.
Tekad untuk menyambung pelajaran secara terus menerus, lelaki yang baru melangsungkan perkahwinan ini memasuki USM pada tahun 2011 sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda dan kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana sehinggalah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah pada 2021.
Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media di Universiti Teknologi MARA Cawangan Alor Gajah, Dr. Mohamad Hafifi menjadikan perjalanannya sebagai satu pembelajaran hidup penuh berharga. Sepanjang pengajian dia bukan hanya belajar tetapi turut melakukan kerja-kerja sampingan bagi mendapat duit poket untuk menampung kehidupan.
Ujarnya, “Saya pernah menjadi Juruwang di Esso, Jurutol Sambilan di Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang serta beberapa pekerjaan secara separuh masa dalam universiti misalnya Pembantu Penyelidik Siswazah dan Eksekutif Acara. Malah, sebelum diterima bekerja di UiTM, saya turut pernah bekerja sebagai Assistant Person in-Charge di kedai dua ringgit, pembanci serta proofreaders.”
Pengalaman sememangnya menjadi guru terbaik namun dalam kehidupan langit tidak semestinya cerah sampai ke petang. Segala onak dan duri harus ditempuhi demi sebuah kemanisan.
Sepanjang 10 tahun pengajian, terdapat peristiwa-peristiwa meruntun hati jejaka ini. Kongsinya, “Dalam tempoh pengajian di USM, saya diuji dengan keadaan yang amat berat iaitu kematian nenek tersayang saya pada tahun 2013. Ketika saya baru memasuki tahun akhir pengajian Sarjana Muda. Pada waktu itu, saya merasakan bahawa satu kunci doa saya telah hilang.
“Semasa menjalani pengajian PhD pula, saya diuji dengan kesakitan bapa saya yang mana dia disahkan dijangkiti pneumonia pada 13 Mac 2019. Dari tempoh tersebut sehingga 13 Mei 2019 iaitu genap dua bulan, saya dan ibu berulang alik ke hospital iaitu bermula dari Hospital Bukit Mertajam ke Hospital Seberang Jaya dan kemudiannya ke Hospital Pulau Pinang.
“Tempoh tersebut adalah tempoh yang amat sukar bagi diri saya. Saya boleh katakan bahawa keluarga lebih penting daripada segala-galanya dan saya ketepikan pengajian dahulu untuk sementara. Syukurlah, ketiga-tiga penyelia saya amat memahami. Selepas bapa saya kembali pulih, barulah saya berusaha mendapatkan semula momentum pengajian yang tertunda.”
Mengakhiri temubual kami, Dr. Mohamad Hafifi mengakui yang tempoh masa 10 tahun di USM ternyata memberikan pelbagai pengalaman kepada beliau berkenaan kesukaran dalam keseronokan menjadi seorang pelajar pra-siswazah dan pasca-siswazah. Walau bagaimanapun, perkara yang lebih penting adalah pengalaman yang diraih dalam tempoh menjadi pelajar, baik di peringkat universiti, latihan industri serta melalui pengalaman yang dikongsikan oleh para pensyarah, penyelia, penyelidik serta pakar-pakar bidang yang ditemui.
Beliau berpandangan bahawa tidak rugi untuk merendahkan diri dalam mencari ilmu serta kembali semula memberikan sumbangan ilmu melalui aktiviti perkongsian dengan rakan-rakan serta anggota masyarakat. Bak kata pepatah, ibarat resmi padi semakin semakin berisi semakin tunduk.
Ilmu merupakan perkara yang penting bagi setiap individu terutama untuk umat Islam bagi mencapai kesejahteraan di dunia mahupun akhirat.
Kredit : Majalah Remaja
Tonton video penuh di bawah untuk kefahaman menyeluruh mengenai senaman-senaman ini menerusi gambaran yang lebih terperinci.